PERAI: Syarikat peneraju teknologi antarabangsa, Siemen Malaysia melancarkan Akademi Latihan Industri Digital Siemens menerusi kerjasama strategik dengan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan SG TVET Group.

Pelancaran Akademi Latihan Industri Digital Siemens itu adalah sebahagian daripada usaha memperkasa tenaga kerja dan mewujudkan ekosistem digitalisasi menerusi program latihan bertaraf antarabangsa.

Ia selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0), menurut Ketua Pegawai Eksekutif SG TVET Group, Datuk Sri Ganes Palaniapan.

Menerusi kerjasama itu, kata Sri Ganes, Siemens Malaysia komited untuk membangunkan modal insan tempatan dengan kemahiran yang relevan, selari dengan keperluan pasaran kerja dalam era industri moden yang kian berkembang pesat.

"Program ini meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET dengan memberikan kelayakan bertaraf antarabangsa yang diiktiraf secara global, menjadikan mereka lebih kompetitif dalam pasaran kerja tempatan dan antarabangsa.

"Dengan pelancaran Akademi Siemens ini, Malaysia kini berada di landasan lebih kukuh dalam melahirkan tenaga kerja bukan sahaja berkebolehan tetapi juga berdaya saing di peringkat antarabangsa.

"Pada masa sama, ia juga melambangkan era baharu dalam pendidikan TVET yang lebih maju, mampan dan sejajar dengan perkembangan teknologi global," katanya pada majlis perasmian  Akademi Latihan Industri Digital Siemens di Institut Latihan Perindustrian Perai, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Sri Ganes berkata, Akademi Latihan Industri Digital Siemens itu menawarkan program pensijilan berkembar daripada Siemens dan Jabatan Pembangunan Kemahiran, sekali gus memberikan kelebihan kepada graduan TVET dalam pasaran kerja.

Menurutnya, dengan kelayakan bertaraf antarabangsa yang diiktiraf industri, graduan dijangka lebih berdaya saing dan mendapat pengiktirafan yang lebih luas.

Dalam pada itu, majlis yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MOA) antara SG TVET Group dan JTM bagi menjalin kerjasama strategik dalam pelaksanaan program latihan berasaskan TVET.

Menurut Sri Ganes, MOA tersebut merangkumi pelaksanaan program latihan TVET yang melibatkan sumbangan peralatan dan modul latihan bernilai RM500,000. Selain itu, ia juga mengandungi model perkongsian hasil (revenue sharing) antara SG TVET Group dan JTM, memastikan kelangsungan serta manfaat latihan TVET untuk jangka panjang.

Majlis menandatangani perjanjian itu kata beliau, menjadi titik permulaan penting dalam memperkukuh kerjasama bagi pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

"Perjanjian itu turut menetapkan rangka kerja bagi pelaksanaan program latihan dalam bidang automasi dan retrofitting di institusi latihan JTM di seluruh negara, sejajar dengan keperluan industri masa kini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Tindaro Danze memberitahu, program itu merupakan langkah penting dalam membangunkan kumpulan bakat yang berkemahiran tinggi dan pada masa sama membantu meningkatkan produktiviti serta daya saing industri Malaysia di pentas global.

"Ini adalah satu inisiatif untuk membekalkan tenaga kerja Malaysia dengan kepakaran terkini dalam automasi industri dan pendigitalan," ujarnya.

Pada 20 Februari lalu, Siemens Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi melatih 10,000 tenaga kerja industri dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.