SEPANG: Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin mengarahkan pelawak, Along Cham melantik peguam syarie bagi mengendalikan kes pengesahan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengarahkan Along Cham melantik peguam syarie untuk kes pengesahan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, kerana terdapat kesilapan dalam dokumentasi.
  • Afreena kecewa kerana kes ini tertangguh lebih daripada enam bulan, dan berharap ia dapat diselesaikan dengan cepat.
  • Along Cham memfailkan permohonan lafaz cerai taklik pada 10 Februari lalu, mendakwa isterinya melanggar tiga perjanjian taklik.


Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi memutuskan demikian selepas mendapati terdapat kesilapan dalam dokumentasi difailkan Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42.

Menurutnya, peguam yang mewakili Muhammad Nizamudin selaku plaintif perlu memfailkan permohonan baharu yang lengkap bagi melancarkan kes berkenaan.

“Permohonan itu nanti perlu dilengkapi dengan maklumat dan fakta, malah dakwaan yang ingin diutarakan juga kena betul.

“Sertakan tarikh, masa dan tempat bagi proses pengesahan cerai secara taklik ini,” kata hakim syarie itu.

Beliau berkata, ia termasuk maklumat mengenai isu lafaz cerai kali pertama yang dibuat di luar mahkamah pada Jun tahun lalu, berserta fakta mengenai rujuk.

Sementara itu, peguam syarie, Mohamad Iezwan Ielias yang mewakili Afreena, 32, turut mengesahkan, terdapat kelompongan dalam dokumentasi yang difailkan plaintif.

Susulan itu, Hakim Syarie, Muhamad Nazri menetapkan prosiding perbicaraan pengesahan cerai itu pada 8 Mei depan.

Selepas prosiding, Muhammad Nizamudin berkata pelik dengan sikap Afreena yang melantik dua peguam syarie untuk mengendalikan kesnya.

Sedangkan pelakon itu berkata, Afreena juga bersetuju untuk menyelesaikan kes ini dengan cepat kerana sedar telah melanggar taklik berkenaan.

“Bagaimanapun, hari ini dia lantik dua peguam untuk mewakilinya, jadi memang menyukarkanlah.

“Kalau lantik peguam, sudah jadi tak cepat, padahal boleh selesai hari ini,” katanya yang mengakui bahawa berlaku kesilapan dokumentasi berhubung perkara terbabit.

Sementara itu, Afreena kecewa kerana perkara ini tertangguh lebih daripada enam bulan.

Menurutnya, lafaz cerai kali pertama dibuat di luar mahkamah berlaku, dua bulan selepas mereka melangsungkan perkahwinan.

“Sebenarnya ada satu lafaz talak dibuat pada Jun tahun lalu, jadi masa itu saya pujuk Along untuk buat pengesahan cerai.

“Disebabkan ia berkaitan hukum Islam, jadi kita tidak boleh melengah-lengahkan perkara berkenaan namun tiada kerjasama diberi oleh pihak sana,” katanya.

Sementara itu, ketika tiba di mahkamah, Muhammad Nizamuddin berharap kemelut rumah tangga bersama isteri, Afreena bakal berakhir.

Dia yang memakai kot berwarna hitam tiba di mahkamah dengan ditemani ibunya, Siti Habsah Kadir memberitahu akan mendedahkan punca dia memfailkan permohonan berkenaan.

Pada 10 Februari lalu, Muhammad Nizamudin memfailkan permohonan lafaz cerai taklik terhadap Afreena di Mahkamah Rendah Syariah Sepang di sini.

Dia memberitahu, pengesahan berkenaan sepatutnya dibuat pada 16 Disember tahun lalu, namun tertangguh selepas ditahan oleh pihak polis kerana didakwa memiliki ganja pada 14 Disember.

Muhammad Nizamudin memaklumkan isterinya telah melanggar tiga perjanjian taklik, antaranya tidak patuh dan membelakangkan suami.

Sebelum ini, pelakon filem 'Bro, Nampak Motor Gua?' itu mendirikan rumah tangga dengan bekas Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4) iaitu Zila Seeron, pada 23 Januari 2010.

Bagaimanapun rumah tangga yang dibina tidak bertahan lama apabila mereka bercerai pada 13 Ogos 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak Ahmad Daniel Muhammad Nizamudin, 14 tahun. -Sinar Harian