KUANTAN: “Dia kata letih, nak baring sahaja.”
Demikian kata ibu kepada Allahyarham Dr Siti Hawa Apandi, Zaidah Tamjis, 64, yang berkata anaknya mula mengadu letih sejak dua hingga tiga hari sebelum meninggal dunia di kediaman mereka di sini.
Menurutnya, anak ketiga daripada lima beradik itu sebelum ini mampu duduk lama sambil menggunakan komputer riba, namun keadaan berbeza apabila dia lebih banyak mahu berbaring.
“Dua tiga hari ini, dia nampak penat dan letih, cuma nak baring sahaja. Biasanya dia boleh duduk lama sambil menggunakan komputer riba, tetapi kali ini dia lebih mahu berehat.
“Selepas minum susu sekitar jam 6 petang semalam (Isnin), dalam setengah jam dia sudah kata nak baring. Biasanya dia minum susu lagi sekitar jam 9 atau 10 malam, tetapi kali ini dia tak mahu,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 Jalan Gambang, di sini, pada Selasa.
Ibu kepada lima anak itu memberitahu, kira-kira jam 5.30 pagi, dia cuba mengejutkan Siti Hawa, namun anaknya tidak memberikan sebarang respons.
"Saya kemudian hubungi ambulans dan pasukan perubatan tiba di kediaman dan mengesahkan anak saya telah meninggal dunia," katanya.
Mengimbas kenangan bersama anaknya, Zaidah berkata anaknya sebagai seorang yang sangat tekun, penyabar dan tidak banyak bercakap.
"Kenangan yang tidak dapat saya lupakan sudah tentu ketika dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana masa itu kami tidak dapat menjaganya secara berterusan dan hanya mampu melawat pada waktu melawat sahaja,” katanya.
Luahnya, namun sebagai seorang ibu, dia berasa bangga dan reda dengan segala ketetapan takdir serta perjalanan hidup yang telah ditentukan oleh Allah SWT buat anaknya itu.
Siti Hawa memulakan pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada peringkat diploma pada 2007 sebelum menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) pada 2025.
Beliau turut diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai pesakit atrofi otot spina (SMA) pertama di negara ini yang menamatkan pengajian dari peringkat diploma hingga PhD di universiti sama.
Allahyarham yang dilahirkan pada 12 Ogos 1989 di Johor meninggalkan pencapaian akademik yang menjadi sebahagian daripada legasi perjuangannya menuntut ilmu meskipun berdepan masalah kesihatan.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Seri Mahkota Aman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, di sini, pada jam 11.30 pagi.