PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia menyasarkan untuk memperkenalkan undang-undang bagi pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) pada tahun ini.

Menterinya Steven Sim berkata kementerian kini dalam proses meminda akta bagi skim berkenaan setelah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada tahun lepas.

"SKBBK bukanlah satu perkara baharu kerana ia telah lama dibincangkan, bukan sahaja oleh kerajaan terdahulu tetapi juga oleh ahli-ahli kesatuan sekerja yang melihatnya sebagai satu skim keselamatan sosial yang penting.

"Mereka melihat terdapat kepentingan skim ini dalam menyediakan perlindungan bukan sahaja sewaktu pekerja berada di tempat kerja tetapi juga apabila berlaku musibah di luar waktu pekerjaan," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan Exco Sumber Manusia Negeri di sini hari ini.

Pada awal bulan ini, KESUMA dilaporkan berhasrat melaksanakan SKBBK bagi memastikan perlindungan 24 jam sehari dalam tujuh hari seminggu kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.

Mengulas mengenai mesyuarat penyelarasan berkenaan, beliau berkata pelbagai isu berkaitan sumber manusia telah dibincangkan, termasuk dasar dan strategi bagi meningkatkan gaji pekerja serta perlindungan keselamatan sosial.

Sim berkata mesyuarat itu berfungsi sebagai satu platform bagi memastikan penyelarasan yang lebih efektif antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam pembangunan sumber manusia.

Tiga kertas pembentangan telah dikemukakan, antaranya oleh Majlis Perundingan Gaji Negara mengenai perintah gaji minimum dan perbandingan dengan dasar gaji progresif.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula membentangkan maklumat terkini mengenai tiga skim utama, termasuk Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), dan SKBBK.

Selain itu, Talent Corp membentangkan kajian mengenai kesan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, dan ekonomi hijau ke atas pasaran kerja Malaysia.

Sim berkata penyelarasan dengan kerajaan negeri adalah penting kerana pengurusan tenaga kerja tidak hanya berlaku di peringkat Persekutuan tetapi juga memerlukan kerjasama erat di peringkat negeri.

Menyentuh isu kekurangan tenaga kerja Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di peringkat negeri, Sim berkata kementerian sedang meneliti kaedah menstruktur semula organisasi bagi memastikan kecekapan penyampaian perkhidmatan tanpa menambah bilangan anggota.

-- BERNAMA