Skip to main content

Malaysia

SMART siap siaga bantu operasi SAR, tunggu keputusan rasmi kerajaan Nepal - NADMA

61673768074_NEPAL.jpg
Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kini berada dalam keadaan siap siaga untuk diatur gerak ke Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir di negara itu. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kini berada dalam keadaan siap siaga untuk diatur gerak ke Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir di negara itu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bagaimanapun pergerakan pasukan berkenaan masih tertakluk kepada keperluan serta keputusan rasmi Kerajaan Nepal untuk menerima kemasukan bantuan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, NADMA sedang melaksanakan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan Kerajaan MADANI untuk mengatur gerak SMART ke Nepal.

"Pasukan SMART telah berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia untuk diatur gerak ke Nepal. Walau bagaimanapun, pergerakan pasukan masih tertakluk kepada keperluan dan keputusan rasmi Kerajaan Nepal bagi menerima kemasukan bantuan Malaysia," menurut kenyataan itu. 

NADMA memaklumkan setakat ini, semua penyelarasan berkenaan perkara tersebut diuruskan bersama pihak Kementerian Luar (KLN). 

Sementara itu, Komander SMART Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1) Abdul Manaf Che Isa berkata semangat anggota pasukan itu pada tahap terbaik meskipun kontinjen SMART turut menyertai perbarisan Hari Kebangsaan ke-69 esok.

“Walaupun esok merupakan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan kontinjen SMART turut terlibat dalam perbarisan, pasukan pada masa sama sedang membuat persiapan untuk digerakkan ke Nepal bagi membantu operasi banjir di negara berkenaan.

"Pada dasarnya, pasukan bersiap sedia untuk diarahkan bagi tujuan pergerakan pada bila-bila masa," katanya kepada media di sini hari ini.

Perdana Menteri hari ini dilaporkan berkata Kerajaan MADANI  memutuskan untuk menghantar Pasukan SMART ke Nepal, bagi membantu operasi SAR susulan bencana banjir yang melanda negara itu.

Beliau berkata Pasukan SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.

Selain itu, Anwar  berkata Malaysia juga akan menyalurkan sumbangan sebanyak USD1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa yang terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana. 

Semalam, KLN berkata sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dahsyat dan tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal yang berlaku pada 26 Ogos.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement