KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka akan membuka bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bilik gerakan di Pejabat SPRM Taman Alai Perdana akan beroperasi 24 jam dari esok hingga hari pengundian pada 14 Nov.
“Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan sepanjang proses pilihan raya menerusi e-mel [email protected] atau menghubungi talian pejabat SPRM Melaka menerusi talian 06-289 6000, bilik gerakan 06-289 6303 atau talian 24 jam/WhatsApp di 011-2679 1569,” menurut kenyataan itu.
SPRM mengingatkan semua calon, parti politik, penyokong serta pihak yang terlibat PRN Melaka ke-16 agar tidak melakukan sebarang perbuatan melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala esok sebagai hari penamaan dan pengundian awal pada 10 Nov.
DUN Melaka dibubarkan pada 23 Sept.
-- BERNAMA