Skip to main content

Malaysia

SPRM jalankan siasatan dalaman teliti dakwaan Bachar Kiwan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti beberapa dakwaan yang dibuat oleh ahli perniagaan, Bachar Kiwan sebagaimana dilaporkan oleh Sarawak Report sejak 16 Ogos 2026. - Gambar fail/Bernama
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti beberapa dakwaan yang dibuat oleh ahli perniagaan, Bachar Kiwan sebagaimana dilaporkan oleh Sarawak Report sejak 16 Ogos 2026. - Gambar fail/Bernama

Ringkasan AI

  • SPRM menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan Bachar Kiwan berkaitan usaha pemulihan aset 1MDB seperti dilaporkan Sarawak Report.
  • SPRM menegaskan pertemuan dengan Bachar Kiwan adalah amalan siasatan biasa dan beliau tidak dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
  • SPRM tidak meneruskan kerjasama dengan Bachar Kiwan selepas memperoleh dokumen rasmi melalui Mutual Legal Assistance dengan pihak berkuasa Kuwait.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti beberapa dakwaan yang dibuat oleh ahli perniagaan, Bachar Kiwan sebagaimana dilaporkan oleh Sarawak Report sejak 16 Ogos 2026.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan dalaman berkenaan dibuat susulan arahan Ketua Pesuruhjayanya yang mahu penelitian menyeluruh dibuat supaya tindakan dan langkah sewajarnya dapat diambil. 

"Bagaimanapun, SPRM ingin menjelaskan bahawa pertemuan antara pegawai suruhanjaya ini dengan Bachar Kiwan merupakan sebahagian daripada amalan siasatan biasa bagi meneliti serta mengesahkan maklumat yang dikemukakan berkaitan usaha pemulihan aset kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Advertisement

"Setiap perbincangan turut dihadiri wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) dan ia tidak bermaksud SPRM mengiktiraf sebarang tuntutan atau status beliau," jelas kenyataan itu.

Untuk rekod, menurut kenyataan itu, Bachar Kiwan tidak dikategorikan sebagai individu yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan perkara ini telah dimaklumkan kepadanya ketika pertemuan pada 2 Disember 2025. 

Advertisement

"Berhubung dakwaan mengenai ganjaran dan pembahagian hasil pemulihan aset, SPRM ingin menegaskan bahawa laporan berkenaan merupakan draf terma daripada pihak ahli perniagaan terbabit dan tidak pernah dipersetujui atau ditandatangani oleh Suruhanjaya ini. 

"Mengenai isu pelantikan peguam, SPRM tidak pernah terlibat kerana ia diluar bidang kuasa Suruhanjaya ini dan hak mutlak melantik peguam adalah atas kehendak individu itu sendiri. 

"Penarikan diri firma guaman yang terlibat juga merupakan keputusan firma berkenaan," tambah kenyataan sama.

Menurut kenyataan lagi, SPRM memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bachar Kiwan selepas berjaya memperoleh dokumen rasmi dan rekod sah melalui permintaan Bantuan Perundangan Bersama atau Mutual Legal Assistance (MLA) dengan pihak berkuasa Kuwait. 

"Sehubungan itu, maklumat yang ditawarkan oleh ahli perniagaan itu tidak lagi menjadi keperluan utama kepada siasatan. 

"Sebagai makluman juga, pada hari ini, SPRM turut merakam percakapan ahli perniagaan, Albert Tei yang telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya bagi membuat aduan berhubung isu ini. 

"SPRM sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin mengemukakan aduan berhubung perkara ini kepada mana-mana agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM)," kata kenyataan itu lagi.

Menurut SPRM, agensi itu bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan yang dijalankan badan itu demi memastikan segala dakwaan diteliti secara telus dan berlandaskan undang-undang.

Must Watch Video

Advertisement