KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan aktif dalam usaha meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) yang kini di peringkat sesi libat urus.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata sesi libat urus dengan Peguam Negara sedang berjalan untuk meminda undang-undang berusia 15 tahun itu.

"SPRM cukup aktif dalam reform undang-undang ini kerana kita dapat lihat kegunaan dan keberkesanan undang-undang ini untuk kami.

"Dijangka rang undang-undang itu dibentang pada sesi ketiga Parlimen tahun ini, harapnya begitulah," katanya kepada pemberita selepas rakaman program Bicara Naratif di Wisma Berita RTM di sini hari ini.

Beliau berkata antara penambahbaikan yang perlu diambil kira ialah perlindungan terhadap pemberi maklumat yang secara tidak sengaja memberikan sesuatu maklumat kes rasuah kepada pihak lain selain pihak berkuasa.

Azam berkata ketika ini perlindungan terhadap seseorang pemberi maklumat akan terbatal sekiranya individu itu didapati memberikan maklumat berkenaan kepada mana-mana pihak selain SPRM.

"Yang kedua, perlindungan perlu diberikan kepada seseorang individu yang dalam keadaan tertentu terpaksa terlibat walaupun dia sebenarnya bukan mempunyai peranan yang banyak dan dia mahu juga memberi maklumat.

"Dalam undang-undang sekarang, walau sekecil-kecil penglibatan, maka dia tidak dilindungi, jadi kita sedang melihat untuk menggubal undang-undang untuk diberi pengecualian terhadap mereka yang sanggup ke hadapan memberi maklumat kepada agensi penguat kuasa terutama SPRM," katanya.

Azam berkata penambahbaikan itu juga membolehkan pihak swasta yang mempunyai program perlindungan pemberi maklumat mereka sendiri untuk turut dilindungi mengikut undang-undang kerana ketika ini hanya agensi penguat kuasa yang mempunyai kuasa melindungi pemberi maklumat.

-- BERNAMA