Skip to main content

Malaysia

SPRM rekod pembekuan harta bernilai RM1.27 bilion sejak 2022 - Kulasegaran

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran pada Sesi Kamar Khas Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran pada Sesi Kamar Khas Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • SPRM membekukan harta bernilai RM1.27 bilion dari 2022 hingga September 2026, melibatkan akaun bank, barang kemas, harta tak alih dan barangan berharga lain.
  • Pembekuan harta dilaksanakan di bawah Seksyen 44 Akta 613, dengan 2,342 perintah dikeluarkan dan 1,262 perintah ditarik balik dalam tempoh tersebut.
  • Kulasegaran menegaskan siasatan SPRM mengikut kriteria ditetapkan, dan pembekuan harta adalah langkah siasatan untuk mengelak pemindahan atau pelupusan aset disyaki.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan pembekuan harta berjumlah RM1.27 bilion bagi tempoh 2022 hingga September tahun ini, merangkumi akaun bank, barang kemas, harta tak alih dan barangan berharga lain.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata pembekuan harta itu dilaksanakan di bawah Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Beliau berkata sebanyak 1,336 perintah pembekuan harta di bawah akta itu dikeluarkan sepanjang 2025 manakala 1,006 lagi dikeluarkan dari 1 Jan hingga 30 Sept 2026.

Menurut Kulasegaran, sebanyak 481 perintah pembekuan ditarik balik tanpa pertuduhan pada 2025 manakala 781 perintah lagi ditarik balik bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

“Penarikan balik, pembatalan atau pengubahan sesuatu perintah pembekuan harta tidak semestinya bermaksud tiada kesalahan berlaku atau siasatan itu tidak mempunyai asas.

“Hal ini kerana tindakan pembekuan adalah satu daripada proses siasatan dan langkah penguatkuasaan bagi mengelakkan harta yang disyaki mempunyai kaitan dengan sesuatu kesalahan daripada dipindahkan, dilupuskan atau diurusniagakan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengenai kuasa pembekuan harta di bawah Seksyen 44 Akta 613 serta isu kawal selia dan siasatan berkaitan SPRM pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata siasatan yang dijalankan oleh SPRM serta agensi penguatkuasaan tidak dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya mengikut kriteria ditetapkan.

Beliau berkata tindakan awal diambil berdasarkan laporan, siasatan prima facie dan kewujudan transaksi mencurigakan seperti aliran keluar masuk wang dengan jumlah terlampau besar.

Menurut Kulasegaran, tempoh 90 hari yang diperuntukkan di bawah Seksyen 44 Akta 613 memberikan ruang untuk perintah pembekuan ditarik balik secepat mungkin sekiranya siasatan selesai.

“Saya setuju dengan Yang Berhormat bahawa jika ada akta seperti yang ada di Singapura adalah satu yang lebih independen dan bebas... lebih baik kalau terpulang kepada pihak mahkamah.

“Itu satu perkara saya telah baca, meneliti dan saya telah beritahu kepada agensi berkenaan supaya meneliti perkara itu kerana ia win-win position yang akan berlaku dan nama baik SPRM akan dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wee mengenai keperluan memperketatkan tatakelola, termasuk mendapatkan kelulusan mahkamah sebelum tindakan pembekuan akaun atau penyitaan syarikat tersenarai dibuat demi melindungi kepentingan pemegang saham minoriti.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement