MALAYSIA
SPRM sita Menara Ilham, segala urusan pindah milik kini satu kesalahan

SPRM berkata, sitaan itu berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bertarikh 4 Jun. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita bangunan Menara Ilham milik keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin, yang terletak di No. 8, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Suruhanjaya itu berkata, tindakan tersebut dilakukan setelah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya.
SPRM berkata, sitaan itu berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bertarikh 4 Jun.
"Menerusi notis ini, kebenaran sitaan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan kepada Pendakwa Raya mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) di mana Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan maklumat diberikan oleh Pegawai SPRM bahawa ia berkait dengan suatu kesalahan di bawah subseksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001," menurut kenyataan itu lagi.Sehubungan itu, SPRM berkata, segala urusan berhubung pindah milik harta tidak alih berkenaan kini adalah dilarang dan kegagalan untuk mematuhi notis ini merupakan suatu kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001.
Sebelum ini media melaporkan, SPRM telah membeku tujuh hartanah dan satu akaun bank milik isteri Allahyarham Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid adalah bagi mengelakkan ia dilupuskan ketika siasatan sedang dijalankan.
Hartanah terlibat ialah tiga kediaman mewah di London ialah antara tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik Na'imah dan keluarga, dibekukan oleh SPRM membabitkan nilai berjumlah 132 juta pound (RM758.2 juta).
Siasatan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan yang berhubung dakwaan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami