Skip to main content

Malaysia

SST kekal asas, rakyat tidak boleh dibebani cukai menyeluruh - PM Anwar

ANWAR MAJLIS LIBAT URUS BELANJAWAN
Anwar menegaskan SST akan kekal sebagai asas sistem percukaian dan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap prinsip untuk mengelakkan cukai dikenakan secara menyeluruh ke atas rakyat. -Foto Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Ruang kepada penambahbaikan sistem percukaian negara adalah terbuka dengan menggabungkan ciri tertentu dalam Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi mewujudkan sistem progresif dan efisien.

Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan SST akan kekal sebagai asas sistem percukaian dan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap prinsip untuk mengelakkan cukai dikenakan secara menyeluruh ke atas rakyat.

“Pangkalnya masih SST, tetapi kalau ada beberapa ciri yang boleh kita terima, kita terima.

"Tetapi saya tidak mahu tolak ansur satu hal. Saya tidak mahu cukai ke atas rakyat secara menyeluruh.

“Seperti mana pandangan dalam GST. GST itu 'broad-based tax', kita cukai semua rakyat, saya tak setuju,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 bertempat di Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada majlis berkenaan berkata walaupun GST pernah disifatkannya sebagai sistem percukaian yang telus, namun sifat cukai itu melibatkan asas percukaian luas turut menimbulkan persoalan dari sudut beban terhadap rakyat.

Pada masa sama, beliau mengakui kerajaan juga tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada SST kerana sistem itu mempunyai kelemahannya tersendiri.

“Bagaimana kita boleh gabung kedua sistem ini mencari jalan yang baru dalam menentukan sistem percukaian yang lebih progresif dan lebih efisien,” katanya.

Anwar pada masa sama menegaskan sebarang perubahan terhadap sistem percukaian perlu mengambil kira realiti kos sara hidup dan kedudukan golongan berpendapatan rendah serta sederhana.

“Bayangkan dalam keadaan kadar kemiskinan, kos sara hidup meningkat dan Jualan Rahmah MADANI terpaksa dibuat setiap minggu di setiap kawasan, tiba-tiba nak perkenalkan GST?” soal Anwar.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengesahkan kerajaan mempunyai beberapa keutamaan yang sedang dipertimbangkan bagi meringankan beban golongan M40.

 

Must Watch Video

Advertisement