Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima pada jam 12.17 tengah hari daripada seorang suri rumah.
"Semasa wanita berusia 36 tahun itu berada di rumah, dia ternampak sebuah kereta jenis Perodua Bezza memasuki halaman rumahnya.
"Semasa kejadian mangsa dan suami sedang berdiri di hadapan pintu rumah telah didatangi tiga lelaki. Salah seorang suspek telah keluarkan pistol dari pinggang kemudian acukan kepada mangsa dan suspek berkenaan telah lepaskan empat das tembakan.
"Mereka kemudian melarikan diri dan melepaskan dua lagi das tembakan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Bahrin, tembakan terkena bahagian bingkai pintu hadapan rumah dan meja di ruang garaj hadapan rumah namun tidak melibatkan sebarang kecederaan.
Tambahnya, Man Tiger berjaya ditahan di pusat perdagangan Simpang Renggam pada jam 7 malam pada Isnin.
"Suspek berusia 32 tahun merupakan penganggur itu mempunyai 27 kes lampau iaitu 18 kes jenayah dan sembilan kes dadah.
"Ujian air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis methamphetamine. Dianggarkan tujuh lagi suspek masih bebas," ujarnya.
Jelas beliau, permohonan reman ke atas Man Tiger akan dilakukan pada petang Selasa di Mahkamah Batu Pahat.
"Motif kejadian masih dalam siasatan.
"Kes disiasat mengikut bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan," ujarnya. - Sinar Harian