KUALA LUMPUR: Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang wanita menikam suaminya sehingga mati dalam kejadian di hadapan sebuah pangsapuri di kawasan Kajang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata sepasukan polis ke lokasi kejadian bersama pasukan forensik selepas menerima maklumat daripada orang awam pada 11.05 pagi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mangsa yang berusia 60 tahun disahkan meninggal dunia.

"Senjata pisau yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas bersama beberapa sampel barang kes lain bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang wanita tempatan berumur 59 tahun yang juga isteri mangsa ditahan bagi membantu siasatan dan suspek direman selama lima hari bermula hari ini.

Naazron berkata mayat mangsa di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang dan bedah siasat yang dijalankan pada 12.30 tengah hari ini mendapati kematian disebabkan multiple stab wounds (luka tikaman berganda).

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes ASP Mohamed Hafeez Hamzah di talian 019-6556536.

-- BERNAMA