Ringkasan AI
- Keluarga Allahyarham Norshamira Zainal bersyukur apabila suspek yang disyaki membunuhnya telah ditahan oleh polis, memberikan sedikit kelegaan dalam mencari keadilan.
- Suami mangsa, Mohammad Afiq Akhmal Nudin, meluahkan rasa marah dan tidak percaya bahawa suspek yang kelihatan baik semasa pertemuan terakhir mereka, sanggup melakukan perbuatan kejam tersebut.
- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menziarahi keluarga mangsa dan menyifatkan perbuatan suspek sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan, serta menggesa hukuman setimpal dikenakan.
Suami mangsa, Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 31, berkata, berita penahanan suspek itu agak melegakan keluarga dalam mencari keadilan buat mangsa.
"Kalau ikutkan hati marah, rasa hendak jumpa dia (suspek) bagi sebiji dua...geram sangat dengan perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan.
"Tidak sangka dia tergamak memperlakukan isteri saya begitu rupa sedangkan sewaktu kami bertemu Isnin lalu, dia nampak baik," luahnya ketika dihubungi pada Sabtu.
Mohammad Afiq Akmal mengakui telah bertemu suspek ketika menemani isterinya menghantar makanan yang dijual kepada lelaki itu di situ.
"Dia nampak baik dan peramah malah ketika bersembang dia kata nak belanja saya makan ikan bakar dan ajak mencandat sotong bersamanya.
"Saya memang tidak syak apa-apa malah sentiasa bersangka baik dengan lelaki tersebut.
"Tidak sangka di sebalik nampak baik ketika itu, tersimpan niat tidak baik terhadap isteri saya hingga berakhir dengan kejadian menyayat hati ini," katanya.
Mohammad Afiq Akmal berkata, dia menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan hukuman berat perlu dikenakan terhadap suspek jika didapati bersalah.
Sementara itu katanya, jenazah isterinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Perantau Damai, Keratong 8, Bandar Tun Abdul Razak kira-kira jam 6 petang pada Jumaat.
Kejadian menimpa peniaga makanan itu mendapat perhatian termasuk Sultan Pahang
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda yang berkenan mencemar duli menziarahi keluarga mangsa di Unit Fotensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menyifatkan perbuatan suspek kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Dalam titahnya, baginda mahu suspek segera diberkas dan dikenakan hukuman setimpal.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita yang juga peniaga makanan ditemui mati disyaki dibunuh di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada Khamis.
Mayat mangsa berusia 37 tahun ditemui seorang lelaki sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Jenazah Norshamira dituntut keluarga kira-kira jam 2.30 petang sebelum dibawa ke Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota untuk dimandikan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Felda Keratong 9, Rompin untuk dikebumikan. -- Sinar Harian
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)