Laporan kehilangan Lee Siew Hat, 73, dibuat isteri memaklumkan suaminya tidak pulang sejak pagi Rabu selepas pergi ke kebun di Batu 17, Kahang.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, operasi pada Ahad membabitkan tujuh pegawai dan 58 anggota daripada pelbagai agensi.
Katanya, usaha pencarian turut dibantu Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam, Balai Bomba Kluang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang dan Bomba Sukarela Kahang.
"Operasi pada Sabtu ditangguhkan pada jam 6.10 petang dan disambung semula pada Ahad bermula seawal jam 9.00 pagi.
"Radius pencarian diperluaskan ke lokasi baru di zon enam iaitu kawasan sekitar Felcra Kampung Sedohok.
"Kedudukan warga emas terbabit sukar dikesan berikutan kawasan kebun dan ladang di kawasan tanaman kelapa sawit itu terlalu luas selain mempunyai banyak lorong atau laluan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sebelum ini, pengawal keselamatan di kebun tersebut merekodkan motosikal milik mangsa, masuk pada 9.12 pagi dan keluar pada 11.13 pagi.
Pencarian diteruskan termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan di sekitar kawasan kebun berkenaan.
Kes kehilangan warga emas terbabit turut menjadi perhatian ramai selepas kisah kehilangan tersebut tular di media sosial, mengundang simpati masyarakat. -- Sinar Harian