Demikian disuarakan Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang menjalankan misi bantuan kemanusiaan ke Syria baru-baru ini.
Katanya, pengiktirafan ke atas kerajaan baharu Syria oleh Malaysia akan membuka ruang bagi memperkukuh diplomasi dan solidariti dunia Islam.
“Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, dunia Islam mesti bersatu dalam menolak eksploitasi sektarianisme yang hanya akan melemahkan kerjasama politik.
“Mengiktiraf kerajaan baharu Syria adalah langkah konkrit ke arah kesatuan ini,” kata GPM Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, GPM Malaysia berkata, pengiktirafan ini akan memudahkan usaha-usaha penyaluran bantuan pembinaan semula negara Syria yang telah hancur akibat peperangan.
Ia termasuk aspek pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur.
“Ini selari dengan gesaan Perdana Menteri bahawa dunia Islam mesti komited dalam menyediakan dukungan kepada rakyat yang memerlukan.
“Pengiktirafan ini membolehkan Malaysia mengambil peranan lebih aktif dalam membantu pemulihan Syria,” tambahnya.
GPM Malaysia berkata, pengiktirafan Malaysia ke atas kerajaan baharu Syria juga akan mampu untuk membuka semula peluang kerjasama dan merancakkan semula ekonomi serta perdagangan di negara itu.
“Malaysia sendiri pada asasnya mempunyai hubungan perdagangan eksport dengan negara Syria di dalam sektor minyak sawit, minyak sayuran serta pakaian berasaskan getah,” katanya.
Sehubungan itu, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, katanya, boleh menjadi platform terbaik untuk memberikan tekanan kepada usaha pelepasan penuh sekatan yang dikenakan ke atas Syria.
“Melalui interaksi dengan komuniti antarabangsa dan juga peranannya sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia boleh memastikan bahawa bantuan kemanusiaan dan usaha pembinaan semula di Syria tidak terhalang,” menurut GPM Malaysia.
