Skip to main content

Malaysia

Sultan Brunei tiba di Malaysia sempena F1 GP Bahrain

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia pada Sabtu bagi lawatan khas bersempena dengan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto BERNAMA
Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia pada Sabtu bagi lawatan khas bersempena dengan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto BERNAMA

Advertisement

SEPANG: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia pada Sabtu bagi lawatan khas bersempena dengan acara Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pesawat khas yang membawa baginda bersama delegasi Brunei, termasuk Putera Abdul Mateen Bolkiah, selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di sini pada jam 4.28 petang.

Ketibaan baginda disambut Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim serta Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Baginda kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan yang dibarisi dua pegawai dan 26 anggota pangkat-pangkat lain daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Kapten Wan Amirul Syafiq Wan Zamri.

SIC dipilih sebagai lokasi sementara penganjuran F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 yang bermula pada Jumaat dan berlangsung hingga Ahad ini.

Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan itu susulan persetujuan antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Perjanjian berkenaan memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan itu dibatalkan pada awal musim susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Kembalinya perlumbaan berprestij itu ke Malaysia merupakan hasil kejayaan diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al-Khalifa.

Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum digugurkan daripada kalendar F1.

Must Watch Video

Advertisement