Berangkat sama Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.
Baginda kemudian berkenan melafazkan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian sebelum melawat pameran, disusuli majlis santapan dan melawat bangunan itu sebelum berangkat pulang.
Terdahulu, Lim dalam sembah ucapan berkata kerajaan Perak telah mencatat pencapaian yang cemerlang dengan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah iaitu RM1.322 bilion pada 2024.
Beliau berkata Perak turut menerima pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Negeri 2023, sekali gus mengukuhkan kedudukan antara lima negeri terbaik dalam aspek tadbir urus kewangan.
"Pada tahun ini kerajaan telah menetapkan sasaran cukai langsung pada RM200.8 billion yang akan menyumbang kepada hampir 50 peratus jumlah hasil Kerajaan Persekutuan.
"Angka ini menunjukkan dana daripada sumber cukai langsung ini merupakan nadi kepada kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan negara," katanya.
Dalam pada itu, Abu Tariq dalam sembah ucapannya berkata menara dibina pada 15 Mei 2018 di tanah berkeluasan 4.046 hektar dengan nilai kontrak pembinaan RM26.3 juta itu memiliki tiga aras dengan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya dewan serbaguna, bilik mesyuarat dan kafeteria.
"Kaunter percukaian dengan reka bentuk moden kontemporari juga disediakan untuk memanfaatkan urusan percukaian komuniti di Perak, khususnya sekitar Teluk Intan.
"Bukan itu sahaja, pemilikan sebuah bangunan yang penuh dengan kemudahan ini menawarkan ruang urusan yang lebih selesa dan kondusif kepada golongan rentan dan kurang kemampuan di bawah program bantuan khas kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dikendalikan oleh LHDN," katanya.
Abu Tariq turut memaklumkan LHDN Perak berjaya mencapai kutipan cukai langsung yang ditetapkan sebanyak RM3.634 bilion pada tahun lepas dengan jumlah itu mencatatkan rekod 7.75 peratus lebih tinggi berbanding 2023.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)