Skip to main content

Malaysia

Sultan Nazrin rasmi Tugu Satria Perkasa Briged Utara PGA

IPOH, 7 Ogos -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menandatangani plak perasmian sempena Majlis Perasmian Tugu Satria Perkasa Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) di PGA Ulu Kinta, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA    IPOH, Aug 7 -- Sultan of Perak Sultan Nazrin Shah signs the commemorative plaque during the inauguration ceremony of the Northern Brigade General Operations Force (GOF) Satria Perkasa Monument at PGA Ulu Kinta today.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menandatangani plak perasmian sempena Majlis Perasmian Tugu Satria Perkasa Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) di PGA Ulu Kinta, hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan Tugu Satria Perkasa Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ibrahim Darus.

Hadir sama Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Komander Briged Utara PGA SAC Balveer Singh Mahindar Singh dan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.

Mohd Khalid dalam sembah ucapannya berkata Tugu Satria Perkasa bukanlah semata-mata monumen atau mercu tanda fizikal, sebaliknya, tugu itu merupakan manifestasi agung Polis Diraja Malaysia dalam memperingati lembaran sejarah, mengenang jasa bakti, serta memelihara legasi perjuangan para wira negara terdahulu.

Sebuah institusi yang hebat bukan sekadar dinilai pada tekadnya untuk membina masa hadapan yang cemerlang, malah ia harus kekal sebagai entiti yang sentiasa menghargai akar sejarah perjuangan yang membentuk kekuatannya pada hari ini.

“Sesungguhnya, tugu ini berdiri teguh sebagai simbol penghormatan tertinggi terhadap jasa, pengorbanan dan keberanian para perwira kita, bermula dari era Pasukan Polis Hutan hingga Pasukan Gerakan Am pada masa kini,” katanya.

Mohd Khalid berkata PGA atau dahulunya dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan merupakan benteng hadapan yang paling ampuh dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

Beliau berkata keamanan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini terbina atas paksi keberanian, pengorbanan dan kesetiaan warga pasukan yang tidak berbelah bahagi.

“Justeru itu, pemilihan nama ‘Satria Perkasa’ adalah sangat tepat. Nama ‘Satria’ melambangkan perwira yang berintegriti dan berjiwa kental, manakala ‘Perkasa’ mencerminkan keteguhan semangat dalam memelihara keamanan negara,” katanya.

Mohd Khalid berkata rekaan tiga tiang pada tugu itu, membawa erti yang sangat mendalam terjemahan daripada motto rasmi PGA iaitu, CEKAL, BERANI dan SETIA.

Mohd Khalid berkata komponen yang paling meruntun jiwa pada tugu itu ialah Panel Perwira yang Terkorban, apabila panel itu mengabadikan nama-nama perwira Briged Utara yang telah gugur semasa menjalankan tugas, bermula daripada Konfrontasi Trimus di Sarawak pada 1963 sehinggalah kepada Operasi Taring di Kedah dan Perlis pada 2020.

“68 orang perwira telah berkorban nyawa demi ibu pertiwi. Nama-nama yang terpahat ini adalah catatan sejarah, lambang amanah kepada generasi baharu untuk terus memelihara keamanan negara dengan penuh iltizam,” katanya.

Terdahulu, Sultan Nazrin turut berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, di sini.

Sementara itu, anak tunggal Allahyarham Konstabel Che Hasnor Uval, Che Hasrunaveca, 36, berkata beliau amat menghargai usaha pihak-pihak yang melaksanakan tugu itu.

“Saya amat berterima kasih dan saya mengharapkan ia dapat jadi kenangan kepada kita semua yang mana perwira-perwira kita yang telah terkorban, kita dapat ingatilah sampai generasi yang akan datang,” kata penjawat awam itu yang hadir bersama ibunya Rubiah Atong, 63.

Che Hasrunaveca yang merupakan Orang Asli suku Temuan dari Kampung Orang Asli Air Sialang Batang Melaka berkata allahyarham ayahnya itu, meninggal dunia apabila helikopter yang dinaiki terhempas dalam Operasi Bamboo pada 9 Nov 1989 di Perak.

Selain itu, isteri kepada Konstabel Bah Osi a/l Chandran, Rokiah Salle, 64, berkata Bah Osi terkena jerangkap samar dalam operasi sama dan disahkan meninggal dunia pada 5 Feb 1983.

“Walaupun macam saya hidup sendirian, tetapi kalau dah ada benda-benda macam ini (tugu peringatan), saya rasa bersyukur sangat-sangat, tetap dikenang sampai bila-bila.

“Sangat bangga, bersyukur sangat-sangat. Jasa mereka dapat dikenang, pengorbanan mereka tak sia-sia, bakti mereka pada negara dan bangsa amat dihargai sangat-sangat,” katanya yang merupakan Orang Asli suku Temiar dari Kampung Bertam Valley, Cameron Highlands di Pahang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement