BANTING: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan perasmian Dataran Dato’ Seri Harun Idris di Pantai Morib, di sini, hari ini.
Berangkat sama ke majlis itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Sultan Sharafuddin yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkenaan melafazkan nama baharu dataran itu yang sebelum ini dikenali sebagai Dataran Morib.
Pemilihan nama dataran itu bagi mengenang jasa, bakti dan sumbangan Menteri Besar Selangor kelapan Allahyarham Datuk Seri Harun Idris yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib.
Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan, dataran itu kembali dibuka kepada orang awam bermula hari ini selepas selesai Projek Pemuliharaan Pantai Morib bernilai RM60.50 juta pada 1 Julai.
Projek di bawah Kerajaan Persekutuan itu dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Projek berimpak tinggi ini dilaksanakan susulan kejadian fenomena air pasang besar pada 18 Sept 2020 yang meruntuhkan tembok penahan dan menjejaskan kawasan pesisir pantai.
“Skop projek antaranya kerja penambahan pasir pantai dan pembinaan tembok laut sepanjang 750 meter serta pembinaan dua unit pemecah ombak luar pantai dan dua unit suar pemandu,” menurut MPKL menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, bagi memperkukuh perlindungan kawasan pesisir pantai secara menyeluruh, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM55 juta di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi pelaksanaan tiga projek pemuliharaan pantai di Kuala Langat.
Tiga projek pemuliharaan itu melibatkan kawasan Pantai Kampung Endah (Istana Bahagia) bernilai RM15 juta bagi pembinaan struktur kawalan hakisan dan penambahan pasir pantai.
“Selain itu, ia turut melibatkan peruntukan RM20 juta bagi pembinaan struktur kawalan hakisan serta menaik taraf ban pantai Pantai Batu Laut dan pembinaan struktur kawalan hakisan serta penambahan pasir pantai di Pantai Tumbuk (RM20 juta),” menurut kenyataan itu.
MPKL memaklumkan, dataran itu telah ditambah baik, khususnya membabitkan fasiliti dan infrastruktur yang akan menarik kehadiran lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
-- BERNAMA