Sungai Melaka, yang sebelum ini berkeladak dan berwarna coklat seumpama teh tarik, kini bertukar jernih dan berwarna kehijauan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Gambar 'kehijauan' sungai itu tular di media sosial dan menimbulkan keterujaan dalam kalangan warganet terutama anak Melaka sendiri namun ada yang mengatakan gambar itu tidak benar dan telah disunting.
Tinjauan Bernama di beberapa kawasan Sungai Melaka di sini, terutama berhampiran kompleks bangunan Stadthuys dan Jalan Jonker mendapati Sungai Melaka telah kembali bersih, berwarna kehijauan, serta lebih bersih berbanding sebelum PKP, namun 'kehijauan' sungai itu tidaklah sejernih seperti yang tular di laman sosial.
Pengayuh beca Joseph Oliveira, 54, hanya tersenyum apabila ditunjukkan gambar Sungai Melaka yang tular itu dan menceritakan sepanjang pengalaman hampir lapan tahun mengayuh beca di kawasan itu, beliau tidak pernah melihat air Sungai Melaka kelihatan jernih seperti ketika ini.
"Mungkin teknik ambil gambar itu nampak air Sungai Melaka lebih jernih daripada yang sebenar, (ketika) PKP ini memang (air sungai) jernih balik kerana kurang aktiviti di Sungai Melaka, sebelum ini hari-hari sibuk dengan bot lalu lalang dan sebabkan keladak di dasar sungai naik," kata anak jati Kampung Portugis itu kepada Bernama.
Oliveira menceritakan Sungai Melaka sekitar tahun 80-an dan 90-an dahulu berwarna kehitaman dan berbau busuk, namun usaha kerajaan negeri terutama pentadbiran bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam, telah mengubah wajah Sungai Melaka sehingga dikenali sebagai 'Venice of The East'.
"Sungai Melaka yang bersih baik untuk alam sekitar dan juga boleh bantu anak Melaka cari pendapatan apabila jadi tarikan pelancong, macam saya kayuh beca. Memang amat kurang pendapatan tetapi bagi saya, berilah masa Sungai Melaka 'berehat' dahulu, lepas ini 'dia' akan bantu kita balik," katanya.
Pekerja pembersihan, Salim Bachek, 48, sependapat dengan Oliveira bahawa kekurangan aktiviti di Sungai Melaka dan kawasan sekitarnya membuatkan sungai itu kembali jernih namun tidak di semua kawasan.
"Saya dan pekerja pembersihan lain keluarkan banyak sampah daripada Sungai Melaka, tetapi ketika PKP ini, jumlahnya berkurangan daripada biasa. Tetapi orang ramai jangan pula mandi atau celup kaki kerana air sungai masih lagi kotor, tidak bersih macam kolam renang," kata anak jadi Bachang itu.
Selain orang ramai, individu yang bertanggungjawab memberikan 'nafas' baharu kepada Sungai Melaka iaitu Mohd Ali turut meluahkan kegembiraan apabila Sungai Melaka kembali bersih dan meminta orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan itu untuk diwarisi generasi akan datang.
"Bertambah bersih (air Sungai Melaka) terutama kawasan bandar boleh nampak ikan berenang dalam tu, tetapi jika kita tidak jaga akan kotor balik nanti. Jadi kita sama-sama jaga kebersihan Sungai Melaka," katanya.
Sementara itu di laman sosial Facebook, ramai warganet memberikan pelbagai maklum balas terhadap perubahan air Sungai Melaka dan ada juga warganet yang mencadangkan pelbagai langkah bagi mengekalkan kebersihan Sungai Melaka.
Warganet, Muhammad Arif Hishammudin, mencadangkan hukuman denda baharu bagi mereka yang membuang sampah atau menyebabkan sungai itu kotor, Ricky Ricardo Marcello pula berpendapat cuaca panas sebelum ini menyebabkan tiada air baharu masuk ke sungai menyebabkan Sungai Melaka tidak keruh.
Tidak kurang juga ramai yang meluahkan perasaan gembira apabila melihat telatah pelbagai haiwan antaranya biawak di Sungai Melaka dan ketika tinjauan Bernama mendapati air bersih Sungai Melaka memudahkan pengunjung menyaksikan telatah haiwan yang terdapat di dalam sungai itu.
Semakan dengan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka mendapati bot pelancongan Melaka River Cruise ditutup ketika tempoh PKP bagi mengekang penularan COVID-19.
- BERNAMA
Bernama
Fri Apr 24 2020
Sungai Melaka jernih 'kehijauan' ketika PKP. - Gambar BERNAMA.
Pilihan Raya Presiden Syria 4 hingga 5 tahun lagi
Presiden Interim Syria, Ahmed al-Sharaa, menyatakan pilihan raya presiden pertama selepas peralihan kuasa dijangka mengambil masa antara empat hingga lima tahun.
WHO seru negara anggota desak Amerika Syarikat batal hasrat keluar
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru pegawai kesihatan negara-negara anggota agar mendesak Washington membatalkan keputusan Presiden Donald Trump untuk menarik diri daripada agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Qatar, Turki tolak cadangan Trump 'bersihkan' Gaza
Menteri Luar Qatar dan Turki menentang rancangan kontroversi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk "membersihkan" Semenanjung Gaza.
Israel terus serang Tebing Barat
Rakyat Palestin pada Isnin mengadakan upacara pengebumian tujuh daripada sekurang-kurangnya 22 orang yang terbunuh akibat serangan Israel di wilayah Tebing Barat yang diduduki sejak dua minggu lalu.
Mexico, Amerika Syarikat tangguh pelaksanaan tarif sebulan
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump umum penangguhan pelaksanaan tarif baru terhadap Mexico selama sebulan.
Afrika Selatan nafi ‘rampas tanah’ selepas Trump ancam henti salur bantuan
Presiden Cyril Ramaphosa nafi dakwaan Presiden Trump bahawa pihak berkuasa Afrika Selatan sedang "merampas tanah."
Hanya beberapa jam sebelum dilaksana, Trump tangguh tarif ke atas Mexico, Kanada
Trump tangguh tarif ke atas Mexico dan Kanada selepas berbincang dengan pemimpin kedua-dua negara jiran itu.
Polis buru suspek pecah rumah
Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah rumah di Bandar Baru Bangi di sini pada Sabtu.
Kedah umum 11 Februari cuti peristiwa sempena Thaipusam
Kerajaan Kedah memutuskan pemberian cuti peristiwa pada 11 Februari ini bersempena sambutan Thaipusam.
Perang dagang, bekalan beras jadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Isu perang dagang dan penghasilan beras tempatan menjadi tumpuan utama di Dewan Rakyat hari ini. Isu itu dijangka dibangkitkan dalam sesi soal jawab lisan Perdana Menteri (PMQ).
COVID-19: Jumlah pelancong ke Melaka terkesan
Peningkatan kes positif COVID-19 dalam negara yang mencapai tiga angka sejak 25 Sept lepas, sekali lagi memberi kesan pada industri pelancongan di Melaka.
Sungai Melaka bertukar jernih kehijauan sejak PKP
Sungai Melaka, yang sebelum ini berkeladak dan berwarna coklat seumpama teh tarik, kini bertukar jernih dan berwarna kehijauan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).