KUALA TERENGGANU: Polis mengesahkan seorang suri rumah kerugian RM38,505 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud dalam talian pada 15 Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 36 tahun dihubungi melalui panggilan telefon oleh suspek yang menyamar sebagai wakil TikTok.
Beliau berkata, suspek meminta mangsa membuat pengesahan alamat bagi tujuan pengeposan barang untuk ulasan di dalam satu kumpulan WhatsApp.
“Mangsa menerima barangan itu dan diberi komisen RM3 selepas membuat ulasan seperti yang diarahkan. Suspek kemudiannya menawarkan tugasan baharu kepada mangsa dengan kadar komisen lumayan.
“Mangsa yang ingin memperoleh pendapatan sampingan telah menyelesaikan beberapa tugasan, iaitu membuat ulasan barangan di media sosial. Suspek bagaimanapun meminta mangsa membuat sejumlah bayaran kononnya sebagai kos pengurusan pengeluaran keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, mangsa yang terperdaya membuat lima transaksi bayaran berjumlah RM38,505 dari 15 hingga 18 Ogos menggunakan wang simpanan, namun masih gagal mendapatkan komisen seperti yang dijanjikan.
Susulan itu, mangsa membuat laporan polis pada 4.39 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA