Ringkasan AI
- Polis mengesahkan suspek kes bunuh Norshamira Zainal telah menggadaikan gelang emas milik mangsa di Terengganu, dengan nilai sekitar RM30,000.
- Motif utama pembunuhan adalah samun, dan suspek telah ditahan serta direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
- Mayat Norshamira ditemukan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, dan siasatan mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati motif utama pembunuhan adalah samun dan suspek mengambil barang kemas sebelum melarikan diri.
Menurut Wan Mohd Zahari, beliau juga tidak menolak kemungkinan gelang yang digadai bernilai sekitar RM30,000.
"Kita turut merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen bagi membantu siasatan.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar barang kemas yang telah digadai," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut beliau, proses merakam keterangan daripada suspek dan beberapa saksi utama bermula pada Ahad.
“Semalam (Sabtu), suspek baru direman dan hari ini kita akan memulakan proses siasatan lanjut.
"Selepas semua prosedur selesai, kenyataan terperinci mengenai kes ini akan diumumkan,” katanya.
Suspek berusia 53 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu, kira-kira jam 5.30 pagi pada Sabtu.
Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 21 Februari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media sebelum ini melaporkan, mayat Norshamira ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada 13 Februari lalu dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Mangsa yang menguruskan urus niaga hantaran tunai (COD) makanan dikatakan keluar rumah untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang juga suspek kes pembunuhan kejam tersebut.
Suami mangsa, Muhammad Afiq Akmal Nudin, 31, tidak menyangka suspek yang peramah dan kelihatan baik sanggup membunuh isterinya. -Sinar Harian
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)