Tertuduh, Zalzul Kamar Abdul Ghani, 53, beralamat dari Kampung Duyong Besar, Kuala Terengganu mengaku faham pertuduhan dikemukakan pihak pendakwaan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Shahrizat Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya, B Deevagaran Naidu.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan dalam prosiding itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Nurshamira antara jam 7.30 petang hingga 8.30 malam, 12 Februari lalu.
Kejadian itu dilakukan di kawasan Jeti Sungai Kuantan, Jalan Padang Lalang di sini.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 dan tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan.
Mahkamah menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.
Zalzul Kamar dibawa dan tiba di perkarangan Mahkamah Majistret di sini jam 9.20 pagi untuk berdepan pendakwaan.
Tertuduh dibawa dengan kenderaan polis dengan tangan bergari dan berpakaian baju-T serta berkain pelekat.
Terdahulu, media melaporkan suspek ditahan jam 5.30 pagi di sebuah rumah, kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu, 15 Februari lalu dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut sehingga 21 Februari sebelum reman dilanjutkan.
Mayat Norshamira ditemui di tepi Sungai Kuantan, berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini 13 Februari lalu dengan kesan kecederaan disyaki dibunuh.
Kejadian menggemparkan itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang menyifatkan perbuatan itu kejam dan tidak berperikemanusiaan. - Sinar Harian
