KUANTAN: Polis sudah mengenal pasti identiti suspek kes wanita yang ditemukan mati dipercayai dibunuh di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini semalam.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pihaknya kini giat mengesan lelaki berusia 37 tahun itu yang menetap di sekitar daerah ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan tidak mempunyai hubungan dengan mangsa yang juga ibu kepada seorang anak lelaki.

"Suspek didapati pernah membuat pesanan makanan dengan mangsa dan bertemu di lokasi kejadian. Siasatan turut mendapati barang kemas wanita itu hilang selain terdapat kesan kecederaan di badan mangsa," katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang dan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan mayat seorang peniaga makanan wanita tempatan berusia 37 tahun ditemukan dengan siasatan lanjut di tempat kejadian mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Yahaya memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Mohd Yusri Othman dilantik Pemangku Timbalan Ketua Polis Pahang menggantikan Datuk Noor Hisam Nordin yang dilantik sebagai Ketua Polis Perak.

Timbalan Ketua Cawangan Khas (Risikan Operasi) Pahang ACP Mohd Faudzi Abd Rahman pula dilantik Pemangku Ketua Cawangan Khas Pahang menggantikan Datuk Mohammad Shaharul Md Osman yang akan menjalankan tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman.

-- BERNAMA