KLANG: Suspek kes tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam minggu lepas yang ditembak mati di Pulau Ketam pagi tadi, sempat melakukan lima jenayah sebelum melarikan diri ke pulau itu, dua hari lalu, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.


Ringkasan AI
  • Suspek kes tembakan di pusat beli-belah Setia Alam, dikenali sebagai 'Ah Boy', ditembak mati di Pulau Ketam selepas sempat melakukan lima jenayah sebelum melarikan diri ke pulau itu.
  • Selepas kejadian tembakan pada 8 Februari, suspek melarikan diri ke Melaka sebelum kembali ke Selangor dengan mengugut pemandu e-hailing dan lori serta mencuri motosikal. Di Sabak Bernam, dia melakukan jenayah pecah rumah, menunjukkan senjata api, dan samun.
  • Suspek aktif melakukan jenayah sejak 2014 dan pernah dipenjarakan dua kali atas kesalahan samun. Polis sedang menyiasat sama ada Pulau Ketam dijadikan transit sebelum melarikan diri ke luar negara dan bagaimana suspek mendapatkan senjata.


Beliau berkata selepas kejadian pada malam 8 Feb lepas, suspek yang dikenali sebagai 'Ah Boy' itu terlebih dahulu melarikan diri ke Melaka sebelum berpatah balik ke Selangor dengan cara mengugut pemandu e-hailing dan lori, selain turut mencuri motosikal.

"Selepas kejadian di pusat beli belah itu dia lari dari Klang ke Melaka, dan berada di sana selama lima hari sebelum berpatah balik ke Banting, dan dua hari lepas dia dikesan di Sabak Bernam.

"Di Sabak Bernam dia sempat melakukan jenayah pecah rumah, menunjukkan senjata api dan juga samun, sebelum melarikan diri ke Pulau Ketam, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kesalahan yang dilakukan adalah sebanyak 15," katanya pada sidang media di Jeti Pulau Ketam di sini hari ini.

Hussein berkata suspek aktif melakukan jenayah sejak 2014 dan pernah dipenjarakan dua kali atas kesalahan samun, dengan kebanyakan kes dilakukan secara solo dan secara kumpulan kecil, selain dikenal pasti mempunyai senjata api sejak tahun lepas.

"Kami juga sedang menyiasat sama ada dia menjadikan Pulau Ketam sebagai transit sebelum melarikan diri ke luar negara, dan siasatan juga sedang dilakukan untuk mengesan di mana dia mendapatkan senjata," katanya.

Berkenaan kes tembakan di pusat beli belah di Setia Alam, Hussein berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa suspek merancang untuk melakukan jenayah samun.

Terdahulu Hussein dalam kenyataan mengesahkan suspek berusia lingkungan 30 tahun itu telah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di dalam bilik sebuah hotel di Pulau Ketam awal pagi tadi.

Suspek yang mempunyai 10 rekod jenayah diburu polis selepas dia dikatakan bertindak menembak seorang pekerja pembersihan di pusat beli-belah di Setia Alam pada 8 Feb lepas.

Selepas melepaskan tembakan, suspek melarikan diri dengan menahan sebuah kenderaan dan memaksa pemandu kenderaan itu membawanya keluar dari kawasan terbabit.

-- BERNAMA