KUANTAN: Seorang nelayan meluahkan rasa terkilan kerana tidak menghalang peniaga, Norshamira Zainal, 37, daripada bertemu suspek ketika menghantar barang niaganya di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada malam Rabu lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang nelayan, Mohamad, meluahkan rasa terkilan kerana tidak menghalang Norshamira Zainal daripada bertemu suspek ketika menghantar barang niaganya di tepi Sungai Kuantan.
  • Mohamad dan seorang lagi nelayan, Zalani, mengenali suspek sebagai individu bermasalah dan tidak menyangka suspek sanggup membunuh Norshamira.
  • Suspek utama, seorang lelaki berusia 53 tahun, telah ditahan dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Nelayan yang mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, sekiranya mengetahui pelanggan tersebut adalah suspek, dia pasti akan berusaha menghalang pertemuan itu.

"Kalau saya tahu, saya tidak akan benarkan dia (mangsa) berjumpa suspek.

"Jika perlu, saya sendiri akan teman kerana suspek dikenali sebagai individu ‘bermasalah," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Ahad.

Menceritakan detik sebelum insiden, Mohamad berkata, dia bersama seorang rakan sedang minum di sebuah kedai makan sebelum ternampak mangsa keluar dari kereta dan berjalan menuju ke kawasan gelap kira-kira jam 8 malam.

Menurutnya, dia sempat menegur mangsa agar tidak pergi ke situ, namun mangsa tetap berkeras selepas melihat suspek melambai ke arahnya.

"Saya sangka mangsa kenal rapat dengan suspek, sebab mangsa tetap nekad menghantar makanan itu walaupun di tempat gelap.

"Jadi, saya tidak halang atau bertanya lanjut, tapi kami lihat lampu telefon menyala sambil seseorang melambai ke arah mangsa," katanya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Zalani, 50, berkata, kebanyakan nelayan di kawasan tersebut mengenali suspek kerana dia pernah menetap di situ.

"Tapi kami sudah lama tak jumpa, hampir dua tiga tahun. Namun, sejak dua tiga hari sebelum kejadian, dia tiba-tiba muncul di kawasan ini.

"Memang ramai yang tidak suka dengannya, tapi kami tak sangka dia sanggup melakukan perbuatan sejauh itu (membunuh)," ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan mayat Norshamira ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada 13 Februari lalu dengan kesan kecederaan yang menunjukkan unsur jenayah.

Mangsa yang menjalankan perniagaan penghantaran tunai (COD) makanan dikatakan keluar rumah untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan, yang juga suspek utama kes pembunuhan kejam tersebut.

Suami mangsa, Muhammad Afiq Akmal Nudin, 31, tidak menyangka suspek yang peramah dan kelihatan baik sanggup membunuh isterinya.

Pada Sabtu, suspek utama kes bunuh Norshamira, seorang lelaki berusia 53 tahun, ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu, kira-kira jam 5.30 pagi.

Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 21 Februari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian