KANGAR: Lelaki memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) mental yang dipercayai menetak bapanya berusia 73 tahun, Isnin lepas berjaya ditahan di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki OKU mental yang dipercayai menetak bapanya berusia 73 tahun telah ditahan di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis.
  • Mangsa, Halim Lebai Othman, cedera di kepala dan telinga kiri, telah dirawat di Hospital Tuanku Fauziah dan dibenarkan keluar wad semalam.
  • Polis akan mengemukakan permohonan reman terhadap suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar dengan dibantu pasukan petugas khas IPD Kangar pada 10 pagi ketika berlegar-legar di sekitar kawasan kampung itu dalam keadaan lemah.

"Semasa tangkapan dibuat, senjata yang dipercayai digunakan pada hari kejadian (tetak) tiada dalam simpanan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai berlaku pada 5 petang di kampung itu dan mangsa, Halim Lebai Othman yang cedera pada bahagian kepala dan telinga kiri serta dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini telah dibenarkan keluar wad semalam.

Polis katanya akan mengemukakan permohonan reman terhadap lelaki OKU itu esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA