Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek berusia 31 tahun itu direman sehingga 28 Januari ini untuk membantu siasatan.
Jelasnya, penahanan itu dibuat susulan pengurus pelawak terbabit yang juga bekas isterinya, Dr Jezamine Lim membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada jam 7.31 malam Jumaat.
Menurut Razarudin, dalam kejadian pertama, mangsa dihubungi suspek jam 11.21 pagi Selasa lalu ketika berada di hadapan premis restoran Semua House, Jalan Bunus 6, Masjid India.
"Lelaki itu mengugut dengan nada kasar dan ingin membunuh pelawak terbabit susulan beliau ada mengeluarkan kenyataan berkaitan isu ham.
"Dalam kejadian kedua jam 3 petang kelmarin, semasa pengurusnya berada di sebuah restoran nasi lemak di Jalan Bunus 6 di sini, beliau menerima mesej gambar pegun anaknya mengandungi mesej berbaur ugutan," katanya kepada media pada Sabtu.
Razarudin berkata, suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK).
"Polis turut merampas telefon bimbit suspek bagi membantu siasatan," katanya.
Untuk rekod Seksyen 506 KK menyentuh kesalahan menakutkan secara jenayah, manakala 509 KK pula mengenai perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Harith terpaksa membatalkan program 'Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter' di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) susulan beliau dan ahli keluarga menerima ancaman bunuh.
Ancaman itu dipercayai selepas pelawak terbabit memuat naik hantaran di media sosial yang cuba membuat jenaka mengenai topik ham, yang kemudian mengundang kecaman netizen kerana didakwa membuka ruang mempersendakan agama. - Sinar Harian