SEPANG: Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan swasta disaran untuk menghulurkan bantuan kewangan terhadap sekolah-sekolah yang memerlukan, terutamanya sekolah yang mempunyai fasiliti daif seperti tandas rosak dan sebagainya.


Ringkasan AI
  • Syarikat swasta dan GLC disaran membantu sekolah daif melalui program sekolah angkat bagi menambah baik fasiliti seperti tandas rosak.
  • Bantuan ini membolehkan kerajaan memberi fokus kepada keutamaan lain seperti pembinaan sekolah baharu, hospital, dan projek mitigasi banjir.
  • Program Kampung Angkat MADANI berkembang pesat dengan penyertaan sektor swasta, menyasarkan 200 kampung dan berpotensi meningkat kepada 300.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor swasta, terutamanya syarikat-syarikat gergasi boleh menyahut cadangan untuk menyertai program ‘sekolah angkat’, sekali gus menolong kerajaan yang sudah membelanjakan berbilion ringgit untuk menaik taraf fasiliti sekolah-sekolah kerajaan.

Dengan bantuan itu, kata Perdana Menteri lagi, ia boleh membantu kerajaan mengalihkan fokus kepada keutamaan lain seperti pembinaan sekolah baharu, penambaikan hospital, projek mitigasi banjir, dan sebagainya.

“Terdapat kira-kira 8,600 tandas teruk di sekolah-sekolah di Malaysia. Bayangkan anak-anak kita di sekolah dengan fasiliti macam tu, tidak boleh sama sekali diterima. Jadi kita (sektor swasta) perlu selesaikan sikit, kerajaan juga sedang menyelesaikan isu ini dan ia mengambil kos sehingga berbilion ringgit.

“Jadi soal sekolah angkat kalau saya cadangkan tahun ini kita pilih sekolah-sekolah, tidak semestinya sekolah sudah baik, tapi yang lebih terpinggir, di desa, di pendalaman Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Anwar berkata, beliau akan meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Datuk Johan Mahmood Merican) dan ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri) untuk membuat penyelarasan inisiatif tersebut bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah ringkas di Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan di Multimedia University di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, beliau gembira dengan kemajuan Program Kampung Angkat MADANI, yang dimulakan di peringkat kementerian-kementerian, sehingga mencecah angka 44 buah kampung pada tahun 2024, dan akan diperluaskan kepada 200 buah dengan bantuan korporat dan GLC.

“Ia berbeda daripada pengarahan program pembangunan kerajaan, di mana saudara-saudari (pemimpin sektor swasta) turun sendiri ke bawah, tahu apa masalah di kampung itu kedudukan masjid, masalah perparitan, hasil pertaniannya, berapa orang menghidap penyakit berat, apa kemudahan dia dengan hospital terdekat. semua masalah itu dimaklum anda yang (sebahagian besar) berasal daripada kampung.

“Saya percaya daripada jumlah 200, kita boleh tambah menjadi 300 buah (kampung angkat), dan  saya ucap terima kasih kerana kita tahu ada GLC (yang bergiat aktif) seperti CIMB, Yayasan Sime Darby telah berturut-turut (menyertai) dalam program ini,” katanya lagi.