KUALA LUMPUR: Syarat kemasukan ke program Diploma Kejururawatan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilonggarkan kepada hanya tiga kredit iaitu mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Sains, berkuat kuasa Januari lalu hingga Disember tahun depan.

Sebelum ini calon perlu mendapat lima kredit iaitu Bahasa Melayu, Matematik atau Matematik Tambahan, kredit salah satu mata pelajaran Sains (Biologi, Kimia, Fizik, Sains Gunaan), Bahasa Inggeris dan mendapat kepujian dalam mana-mana satu mata pelajaran lain untuk mengikuti program berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu, langkah itu adalah antara inisiatif kerajaan untuk menangani isu kekurangan jururawat di hospital kerajaan mahupun swasta.

Beliau memberitahu, berdasarkan data yang dikeluarkan sehingga 31 Disember lalu, terdapat 9,585 kekosongan jawatan jururawat di Kementerian Kesihatan dan 3,493 kekosongan di hospital swasta.

"Kita berpandangan kelonggaran syarat daripada lima kredit ke tiga kredit adalah untuk menyasarkan peningkatan pengambilan pelajar lepasan SPM ke bidang kejururawatan.

"Ini tidak akan menjejaskan kualiti latihan kejururawatan kerana tidak melibatkan mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Sains malah kemahiran analitikal, pemikiran kritikal dan pemahaman teori masih dikekalkan kerana silibus pembelajaran masih dikekalkan.

"Tambahan pula ia juga tidak menjejaskan status akreditasi antarabangsa program Diploma Kejururawatan di Malaysia kerana kita masih memenuhi standard akademik dan latihan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mengenai statistik terkini jururawat dalam negara serta dengan melonggarkan syarat kemasukan program kejururawatan bagi lepasan SPM.

Sementara itu, Dr Dzulkefly memberitahu, inisiatif lain yang diambil bagi menggalakkan kemasukan ke program Diploma Kejururawatan adalah dengan membuka peluang kepada lepasan  graduan selain Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti lepasan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), “O” Level, “A” Level dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga memutuskan untuk meningkatkan pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di Institut Latihan KKM daripada 1,000 kepada 2,000 pelatih.

"Pada masa sama, jumlah tawaran Jururawat Masyarakat ke Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) juga ditingkatkan daripada 800 ke 1,000 orang setahun," jelasnya.

Menurutnya, setelah penamatan moratorium penawaran kursus pengajian kejururawatan berkuat kuasa mulai 1 Ogos lalu, sehingga kini terdapat pertambahan sebanyak lapan buah kolej telah memohon untuk kelulusan menjalankan program Diploma Kejururawatan sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran jururawat tempatan.

"Kita juga membuka pengambilan jururawat dalam kalangan graduan Diploma Kejururawatan daripada Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) untuk fasa kedua menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengisi kekosongan perjawatan jururawat di
KKM," jelasnya.