ALOR GAJAH: Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar perlu bertindak secara adil dan bebas daripada sebarang pengaruh politik susulan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata Peguam Negara sepatutnya menjalankan tanggungjawab berdasarkan prinsip undang-undang serta menghormati titah Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara itu.
"AG harus bertindak dengan adil. Beliau tidak perlu menjadi ‘trojan horse’ kepada sesiapa atau bergerak mengikut naluri politik parti tertentu.
"Beliau harus bergerak secara bebas selaku pengamal undang-undang dan akur dengan apa yang telah dinyatakan serta diputuskan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya, di sini pada Sabtu.
Beliau ditemui ketika hadir membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.
Hakim yang merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nazri Ramli di DUN Lendu.
Mengulas lanjut, Mohammad Sollehin turut mempersoalkan tindakan itu yang dibuat selepas pembayaran denda RM50 juta.
Katanya, tempoh kira-kira tujuh minggu sebelum pembayaran denda dibuat sepatutnya mencukupi untuk pihak berkaitan meneliti implikasinya.
"Saya tidak tahu sama ada Peguam Negara baru menyedari perkara itu belum dikaji, tetapi tujuh minggu adalah tempoh yang mencukupi untuk beliau meneliti kesan (selepas) pembayaran dilunaskan.
"Bagaimanapun, secara tiba-tiba pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau merujuk kenyataan Istana Negara, yang menurutnya memperjelas keperluan pelaksanaan tahanan di rumah disegerakan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
Mengulas sama ada isu itu akan mempengaruhi kempen BN pada PRN Melaka, Mohammad Sollehin berpandangan ia berpotensi memberikan suntikan semangat lebih besar kepada jentera UMNO dan BN.
"Kalau Datuk Seri Najib dibebaskan (menjalani tahanan di rumah), sudah tentu ia memberi semangat lebih kuat kepada jentera UMNO dan BN,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Mohammad Sollehin, BN kekal optimis dengan momentum kempen di Melaka dan yakin gabungan itu mampu memperoleh sokongan pengundi pada 14 November ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Mohd Dusuki menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi memohon ampun dan menjelaskan keputusan menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib.