Kedatangan Tahun Baharu Cina ini bukan sahaja disambut oleh masyarakat Cina, malah dirasai oleh seluruh rakyat pelbagai kaum di negara ini yang memanfaatkan cuti umum dan hujung minggu panjang untuk meluangkan masa bersama keluarga melalui pelbagai aktiviti.
Bagi meraikan tahun baharu, penganut Buddha turut berkunjung ke tokong-tokong untuk melaksanakan ritual keagamaan serta memohon hajat sebelum menziarahi ahli keluarga dan menghadiri majlis rumah terbuka.
Di ibu negara, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama ratusan masyarakat memeriahkan majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA yang berlangsung di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini.
Majlis ini turut dihadiri beberapa menteri Kabinet dan dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk tradisi menggaul yee sang sebagai simbol kepada kemewahan, kemakmuran, dan kesuburan bagi masyarakat Tionghua.
Di Pulau Pinang, tinjauan Bernama mendapati seawal 7 pagi tokong-tokong di negeri itu termasuk Tokong Ular berusia 175 tahun di Bayan Lepas di sini, dibanjiri penganut Buddha untuk bersembahyang dan memohon hajat sebelum menziarahi ahli keluarga yang lain.
Seorang pengunjung, Chia Ean Cheng, 35, yang bekerja di Singapura berkata beliau pulang ke Bayan Baru untuk meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan keluarga dan memilih Tokong Ular untuk bersembahyang sebelum meneruskan aktiviti berkunjung ke rumah ahli keluarga.
Di Perlis, cuti umum dan hujung minggu panjang dimanfaatkan masyarakat Cina untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan perayaan itu bersama keluarga.
Lim Ting Fei, 25, menyifatkan perayaan tahun ini amat bermakna kerana dia dapat pulang ke kampung halamannya di Sanglang dekat Arau selepas tidak berpeluang berbuat demikian tahun lepas.
Di Selangor, anak jati Klang, Eric Chua, 47, adalah antara ratusan penganut Buddha yang hadir ke Tokong Kuan Yin di Klang bagi melakukan upacara keagamaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata mengunjungi dan bersembahyang di tokong itu setiap kali perayaan itu adalah rutin tahunan sebelum pulang ke kampung di Pelabuhan Klang, dan pada tahun ini keluarganya mengadakan rumah terbuka.
Di Terengganu, Lee Peng Chu, 37, dari Taman Sri Manir, Kuala Terengganu, berkata walaupun komuniti Tionghua di kawasan itu tidak ramai, namun sambutan Tahun Baharu Cina di rumahnya tetap meriah dengan kehadiran jiran serta rakan-rakan daripada pelbagai bangsa dan agama.
"Setiap kali Tahun Baharu Cina, keluarga kami berkumpul di rumah ibu bapa pada waktu pagi, dan selepas itu saya pulang ke rumah untuk menyambut tetamu... kebanyakan rakan saya berbangsa Melayu, dan makanan halal saya tempah daripada peniaga Melayu," katanya.
Sementara itu, di Melaka, kediaman milik Melvin Chua Kew Wei, 46, riuh dengan kehadiran lebih 60 ahli keluarga yang berkumpul di rumah mereka di Tangga Batu bagi meraikan perayaan tersebut.
"Kami biasanya bergotong-royong untuk menyediakan juadah seperti 'spring roll', ikan kukus, 'yee sang', dan banyak lagi... tahun ini, ramai sanak saudara dari Kuala Lumpur dan Singapura turut bertandang," katanya.
Di Kelantan, warga emas Ah Tong, 77, mengungkapkan rasa syukur kerana masih dapat meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga dan rakan-rakan, sekali gus mempereratkan persaudaraan.
Di Negeri Sembilan, hampir 5,000 masyarakat Tionghua, termasuk pengunjung dari luar negeri itu, mengunjungi Tokong Si Thian Kong di Kuala Pilah seawal 7.30 pagi untuk melaksanakan upacara keagamaan.
Pengarah Komunikasi Media tokong itu Liaw Zi Xhuan, 29, berkata selain upacara memohon keberkatan, pelbagai aktiviti turut disediakan di tokong tersebut, antaranya persembahan pentas, karnival makanan, dan persembahan pancutan air berirama pada sebelah malam.
Di Kedah, sekumpulan anak muda yang diketuai oleh Jessica Tan, 27, bersama tujuh lagi rakannya dari Taman Rakyat, Alor Setar, menyambut Tahun Baharu Cina dengan cara tersendiri. Mereka memulakan pagi perayaan dengan aktiviti riadah sebelum mengunjungi keluarga dan sanak saudara.
Sedondon berbaju merah, mereka tiba di taman rekreasi itu seawal 6.30 pagi untuk berlari sejauh 10 kilometer sambil mengenakan pakaian merah sebagai simbolik Tahun Baharu Cina.
Di Perak, bagi Wong Chin Wai, 42, dan keluarganya, menjadi rutin setiap kali menyambut Tahun Baharu Cina untuk menempah makanan daripada penyedia makanan halal bagi memastikan rakan-rakan dari pelbagai kaum dan agama yang berkunjung ke rumahnya dapat menikmati hidangan yang sesuai.
"Inilah tradisi setiap tahun, kami berkawan dengan semua orang tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama malah kita hormati semuanya...kita tempah makanan halal untuk jamu tetamu khususnya yang beragama Islam," katanya.
Sementara itu, di Johor, lebih 300 masyarakat Tionghua memeriahkan hari bermakna itu di Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina di Dewan Besar Wong Shee Fun, Wisma Tionghua.
Majlis yang bermula sejak pagi tadi itu dianjurkan oleh Persekutuan Tiong-Hua Johor Bahru bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Masyarakat Tiong-Hua.
Pada majlis tersebut, tetamu tidak melepaskan peluang untuk menggaul yee sang, yang merupakan tradisi setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, simbolik kepada memperoleh kesejahteraan, kekayaan, dan keuntungan dalam setiap perkara yang dilakukan.
Selain itu, pelbagai juadah enak disajikan, bersama-sama persembahan tarian tradisional dan tulisan kaligrafi Cina yang turut memeriahkan sambutan itu.
-- BERNAMA