Skip to main content

Malaysia

Tambang LRT3 laluan Shah Alam mula berkuat kuasa esok

KLANG, 28 Jun -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (kanan) menaiki tren Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dari Stesen Sri Andalas ketika hadir pada Majlis Peluncuran Laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia, Klang hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tambang konsesi menerusi Kad Konsesi MyRapid turut tersedia bagi kategori yang layak, termasuk pelajar, warga emas dan Orang Kurang Upaya. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Penumpang Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam akan dikenakan tambang mulai esok selepas menikmati perkhidmatan percuma selama enam minggu.

Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan bermula pada tarikh itu juga, tambang akan dikenakan bagi perkhidmatan bas perantara dan kemudahan Park N’ Ride.

“Pelaksanaan perkhidmatan berbayar ini menandakan satu lagi fasa penting dalam operasi Laluan Shah Alam selepas tempoh perjalanan percuma enam minggu yang mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Rapid KL merakamkan penghargaan kepada semua pengguna atas sokongan, kepercayaan dan kesediaan memilih pengangkutan awam sepanjang tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu. 

Sehubungan dengan itu, Rapid KL menasihati penumpang untuk membuat persediaan sebelum memulakan perjalanan dengan menggunakan kad atau kaedah pembayaran tanpa tunai yang tersedia dengan memastikan kad mempunyai baki sekurang-kurangnya RM5. 

Menurut kenyataan itu, tambang konsesi menerusi Kad Konsesi MyRapid turut tersedia bagi kategori yang layak, termasuk pelajar, warga emas dan Orang Kurang Upaya.

“Penumpang yang layak boleh menggunakan kad konsesi masing-masing untuk menikmati kadar tambang yang ditetapkan.

“Rapid KL mengalu-alukan orang ramai untuk meneruskan perjalanan bersama Laluan Shah Alam dan menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan bagi perjalanan harian yang lebih mudah, selamat dan lancar,” menurut kenyataan itu. 

Maklumat lanjut berkaitan kadar tambang Laluan Shah Alam boleh disemak melalui laman rasmi MyRapid.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement