KUANTAN: Insiden tanah runtuh di Jalan Amber Court dan Ion Delemen di Genting Highlands, Bentong pada Jumaat lepas dan masih ditutup pada orang ramai bagi kerja pembersihan, bukan laluan utama ke pusat peranginan Tanah Tinggi Genting.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata akses ke peranginan tanah tinggi itu melalui jalan utama Genting Highlands kekal terbuka sepenuhnya kepada orang awam dan tidak terjejas dengan kejadian tanah runtuh itu.

"Ramai yang keliru, ada yang tanya dalam media sosial, sama ada boleh ke taman tema Genting Highlands, GHPO (Genting Highlands Premium Outlets), atau First World Hotel. Sebenarnya, tidak ada masalah untuk ke sana kerana ia tidak melalui jalan tanah runtuh itu.

"Laluan terlibat dengan tanah runtuh hanya jalan ke Amber Court atau hotel Ion Delemen sahaja, manakala jalan ke Skyworld, GHPO, dan lain-lain tidak terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham berkata proses pembersihan di laluan tanah runtuh tersebut, masih dijalankan an turut membabitkan kerja pembinaan benteng serta pemasangan penutup tebing oleh pihak berwajib.

"Memandangkan sudah hampir tiga hari cuaca hujan dan lokasi berkabus tebal selepas 5 petang, agak berbahaya sekiranya ada kenderaan bergerak pada waktu berkenaan. Jadi buat masa ini, laluan itu saya arahkan tutup bermula 7 pagi hingga 7 malam.

"Lokasi dikawal 24 jam oleh pihak berkuasa dan hanya dibenarkan keluar dari tempoh tersebut, sekiranya ada masalah kecemasan sahaja," katanya.

Jumaat lepas, kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Amber Court dan Ion Delemen, Genting Highlands, Bentong pada 2.47 pagi itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

-- BERNAMA