Skip to main content

Malaysia

Taufan Champi Taiwan: Dua rakyat Malaysia cedera, Wisma Putra pantau rapat perkembangan

Seorang pejalan kaki berlindung di bawah payung ketika Taufan Champi menghampiri Taiwan di bandar pelabuhan Keelung, pada Jumaat. - Gambar Reuters
Seorang pejalan kaki berlindung di bawah payung ketika Taufan Champi menghampiri Taiwan di bandar pelabuhan Keelung, pada Jumaat. - Gambar Reuters

Advertisement

KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengesahkan dua rakyat Malaysia mengalami kecederaan ringan akibat Taufan Champi yang melanda Taiwan, sambil memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat perkembangan bencana itu yang turut mengganggu perkhidmatan pengangkutan dan aktiviti harian di beberapa kawasan negara berkenaan.

Kementerian Luar Negeri berkata, kedua-dua rakyat Malaysia terbabit kini sedang menerima rawatan perubatan bagi kecederaan yang dialami.

Menurut kementerian itu, Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei sedang memberikan bantuan konsular yang diperlukan kepada mereka selain terus berhubung rapat dengan kumpulan pelajar Malaysia serta pihak berkuasa tempatan bagi memantau keadaan semasa dan kebajikan rakyat Malaysia di Taiwan.

Taufan Champi membawa angin kencang dan hujan lebat ke beberapa kawasan di Taiwan sehingga memaksa pihak berkuasa tempatan memindahkan penduduk dari kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh, termasuk kawasan berhampiran empangan yang terbentuk akibat kejadian tanah runtuh di Daerah Hualien.

Bencana itu turut menyebabkan pembatalan penerbangan secara meluas serta gangguan kepada perkhidmatan feri, manakala keadaan cuaca buruk dijangka berterusan di beberapa kawasan.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Taiwan dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan pesisir pantai dan pergunungan serta mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan dan pemindahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Mereka juga digalakkan mengikuti perkembangan cuaca tempatan dan mengelakkan perjalanan yang tidak perlu ke kawasan yang terjejas akibat banjir, tanah runtuh atau bahaya lain berkaitan cuaca.

Dalam pada itu, Wisma Putra memaklumkan gangguan pengangkutan masih berterusan dan rakyat Malaysia yang mempunyai rancangan perjalanan ke Taiwan dalam masa terdekat dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan atau perkhidmatan feri secara langsung dengan pengendali berkaitan sebelum ke lapangan terbang atau terminal.

Bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular, rakyat Malaysia yang berada di Taiwan dan masih belum berdaftar digalakkan mendaftar melalui portal e-Konsular Kementerian Luar Negeri serta memastikan maklumat perhubungan mereka sentiasa dikemas kini.

Wisma Putra berkata kementerian akan terus memantau situasi berkenaan dan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya perlu.

Must Watch Video

Advertisement