Skip to main content

Malaysia

TDM sahkan pegawai ditahan, keselamatan stor senjata tidak terjejas

TDM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran peraturan berdasarkan hasil siasatan yang disahkan.
TDM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran peraturan berdasarkan hasil siasatan yang disahkan.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Seorang pegawai Tentera Darat Malaysia ditahan polis di sebuah IPTA pada 28 September bersama senjata api, peluru dan cecair disyaki bahan terlarang.
  • Saringan awal air kencing mendapati pegawai itu positif Mitragynine, namun keputusan tertakluk kepada pengesahan lanjut makmal dan siasatan pihak berkuasa.
  • TDM menegaskan tiada kehilangan senjata atau peluru, serta menyeru orang ramai tidak membuat spekulasi dan menunggu hasil siasatan rasmi.

KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan seorang pegawainya kini berada dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan selepas ditahan di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 28 September lalu.

Dalam satu kenyataan, TDM memaklumkan pegawai berkenaan ditahan selepas ditemukan bersama sepucuk senjata api, sejumlah peluru dan cecair yang disyaki bahan terlarang.

Menurut TDM, saringan awal air kencing mendapati pegawai itu positif Mitragynine.

Bagaimanapun, keputusan berkenaan masih tertakluk kepada pengesahan lanjut melalui analisis makmal dan siasatan pihak berkuasa.

Susulan kejadian itu, TDM berkata pemeriksaan segera telah dijalankan terhadap semua stor senjata dan stor peluru di bawah kawalannya.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua senjata dan peluru adalah lengkap, mencukupi serta tiada sebarang kehilangan direkodkan”, menurut kenyataan itu.

TDM menegaskan pihaknya memandang serius sebarang isu yang melibatkan anggota dan pegawai tentera serta sentiasa menitikberatkan aspek disiplin, keselamatan dan pematuhan peraturan.

Dalam pada itu, TDM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran peraturan berdasarkan hasil siasatan yang disahkan.

Pada masa sama, TDM mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut.

Katanya, sebarang kesimpulan perlu dibuat berdasarkan fakta dan hasil siasatan rasmi pihak berkuasa serta bukannya maklumat yang belum disahkan.

TDM turut menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan proses siasatan yang sedang berjalan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement