KUALA LUMPUR: Lebih 70,000 biji telur ayam yang bertaburan selepas lori membawa muatan itu terbalik dalam kemalangan di Kemaman pada Rabu mungkin tidak selamat dimakan kerana telah terdedah dengan risiko pencemaran di sekitarnya.

Pensyarah Biokimia dan Biofizik Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohamad Khairi Mohd Zainol menjelaskan beberapa bakteria berbahaya yang boleh mencemari telur tersebut iaitu Salmonella, Escherichia coli, Listeria monocytogenes, Clostridium perfringens dan Staphylococcus aureus.

Menurutnya, kebanyakan bakteria tersebut biasa ditemui dalam telur terutama sekiranya berlaku keretakan pada bahagian cangkerang.

"Salmonella boleh menyebabkan keracunan makanan, cirit-birit, demam dan kekejangan perut manakala E Coli boleh mencemari telur jika ia bersentuhan dengan kotoran, najis atau bahan cemar alam sekitar lain.

"Ada bakteria yang hidup subur dalam persekitaran lembap dan boleh mencemari telur sekiranya terdedah kepada tanah atau serpihan jalan.

"Selain ia turut menimbulkan risiko besar kepada wanita hamil, bayi baru lahir dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohamad Khairi berkata, mana-mana telur yang sudah pecah dan retak perlu dibuang kerana bakteria boleh menyelinap masuk melalui retakan tersebut sekali gus menjadikan telur itu tidak lagi selamat.

"Telur yang tidak pecah mungkin masih selamat jika ia tidak terdedah kepada kotoran, bahan api atau bahan kimia berbahaya dari jalan.

"Bagaimanapun, ia perlu dibasuh dengan betul selain diperiksa tahap kesegarannya sebelum digunakan melalui ujian apungan.

"Ujian tersebut boleh dilakukan dengan meletakkan telur dalam air. Telur segar akan tenggelam sebaliknya telur yang buruk akan terapung," jelas beliau.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan lebih 70,000 biji telur ayam yang bertaburan selepas lori membawa muatan itu terbalik dalam kejadian di Kilometer 293.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Plaza Tol Chukai, Kemaman.

Kelindan lori, Mohd Izzat Izzudin, 25, berkata, lori yang dinaiki bersama rakannya terbabas ke kiri jalan dan terbalik selepas dipercayai dirempuh sebuah lori barangan sejuk beku dari arah belakang dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi.

Menurutnya, insiden itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan menghantar bekalan telur dari Raub, Pahang ke Kuala Terengganu.

Mohd Izzat menyatakan pemilik syarikat telah mengizinkan telur ini diberikan kepada orang ramai bagi memastikan kawasan kemalangan ini dapat dibersihkan dengan segera dan mengelak pembaziran.

Susulan itu, orang ramai tidak melepaskan peluang mengutip telur yang tercampak selepas lori yang membawa barangan itu terbalik dalam kejadian di KM293.8 LPT2 di Kemaman pada Rabu.