CHUKAI: Kerajaan Negeri Terengganu akan mempercepat pembangunan berorientasikan transit (TOD) di enam stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini, susulan sasaran operasi perkhidmatan Fasa 1 bermula Disember ini berbanding jadual asal pada Januari 2027.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata langkah itu penting bagi memastikan kemudahan dan pembangunan di sekitar stesen ECRL dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk merancakkan kegiatan ekonomi setempat selain membuka peluang kepada rakyat.
Beliau berkata kerajaan negeri sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk syarikat berkaitan bagi mengenal pasti potensi pembangunan TOD di enam stesen berkenaan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan serta kerajaan negeri, yang telah memudah cara pelaksanaan projek ini sehingga dapat dijalankan dengan begitu efisien.
“Saya menyambut baik makluman projek ini dapat mula beroperasi lebih awal pada Disember berbanding Januari 2027,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, dekat Kerteh di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri juga sudah mempunyai reka bentuk dan kerangka pembangunan kemudahan di sekitar stesen-stesen ECRL, namun pelaksanaannya bergantung kepada persetujuan serta penglibatan pelabur swasta yang kini sedang diatur oleh pihak MRL dan Terengganu Incorporated.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak berhasrat menanggung keseluruhan kos pembangunan berkenaan sebaliknya akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur asas termasuk jalan raya, bekalan elektrik dan air.
Selain itu katanya pembangunan di sekitar stesen juga perlu dimanfaatkan masyarakat setempat khususnya usahawan.
“Saya menyeru rakyat Terengganu khususnya usahawan supaya mengambil peluang mewujudkan perniagaan sokongan di sekitar stesen ECRL kerana ia berpotensi merancakkan ekonomi setempat. ECRL tidak seharusnya dilihat sebagai perkhidmatan pengangkutan penumpang semata-mata, sebaliknya dimanfaatkan bagi mengangkut barangan bagi menjana pulangan ekonomi yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata sehubungan dengan itu, penglibatan syarikat dalam menggunakan perkhidmatan kargo ECRL amat penting bagi memastikan projek itu memberi impak ekonomi yang lebih menyeluruh.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata pembinaan projek laluan ECRL bagi jajaran ke Pelabuhan Kemaman juga akan menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi syarikat yang beroperasi berdekatan pelabuhan itu termasuk anak syarikat kerajaan negeri Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad.
Media semalam melaporkan perkhidmatan ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Gombak disasarkan mula beroperasi pada Disember ini, mendahului jadual asal pada Januari 2027.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata sasaran itu bergantung kepada kelancaran proses ujian dan pentauliahan yang sedang dilaksanakan termasuk Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Fault-Free Run (FFR), tanpa sebarang kompromi terhadap aspek keselamatan.
-- BERNAMA