Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Cadangan hadkan tempoh jawatan PM dibincang dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjadi antara perkara utama yang dirunding dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273. - Foto BERNAMA
Cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjadi antara perkara utama yang dirunding dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273. - Foto BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273 membincangkan cadangan pindaan Perlembagaan mengenai had tempoh jawatan Perdana Menteri dan pengasingan peranan Peguam Negara serta Pendakwa Raya.
  • Majlis turut menerima taklimat keselamatan, pertahanan dan ekonomi daripada Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Menteri Ekonomi.
  • Agenda lain termasuk pelantikan Hakim Mahkamah Khas, pentadbiran agama Islam, serta cadangan tarikh mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi tahun 2027.

KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjadi antara perkara utama yang dirunding dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273.   

Mesyuarat dua hari itu, yang bermula semalam di Istana Negara, dipengerusikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah manakala Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat hadir pada hari kedua dengan diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.   

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini, majlis memperhalusi Kertas Untuk Merundingi Majlis Raja-Raja Berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 Mengenai Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri.   

Selain itu, Majlis Raja-Raja turut disembah maklum mengenai Kertas Untuk Memaklumkan Majlis Raja-Raja Berkenaan RUU Perlembagaan (Pindaan)(No 2) 2026 Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara Dan Pendakwa Raya serta cadangan pindaan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001.   

Majlis turut disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail manakala Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman menyembahkan taklimat pertahanan dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyembahkan taklimat ekonomi.   

Agenda lain yang dibincang termasuk pelantikan Hakim Mahkamah Khas dan penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi MARA, cadangan tarikh mesyuarat bagi tahun 2027 serta perkara berkaitan pentadbiran agama Islam di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia seperti peluasan skop pengauditan Kumpulan Wang Zakat.   

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh semua Sultan, Raja dan Yang Dipertua Negeri termasuk Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra (mewakili Sultan Kelantan) dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim (mewakili Pemangku Sultan Johor).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement