Ringkasan AI
- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Najib Razak menjalani tahanan rumah.
- Loke menyatakan peletakan jawatan selaras dengan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan isu tahanan rumah Najib.
- Najib akan menjalani tahanan rumah di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang untuk hukuman kes 1MDB.
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Loke berkata keputusan itu diambil selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya untuk menjalani perintah tahanan rumah,di kediamannya di Langgak Duta di ibu negara hari ini.
Ia juga dibuat selaras dengan pendirian parti DAP yang tidak bersetuju dengan isu tahanan rumah Najib.
"Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah saya jelaskan sebelum ini.
"Saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada saya untuk berkhidmat dalam Jemaah Menteri beliau sejak Disember 2022," katanya dalam kenyataan itu.
Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan pengurusan tertinggi serta seluruh warga Kementerian Pengangkutan atas komitmen dan kerjasama sepanjang beliau menerajui kementerian itu.
"Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar dan segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat," kata Loke.
Menurut kenyataan itu juga beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar serta segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
Sebelum itu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Najib, 73, menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, ibu negara, berkuat kuasa serta-merta.
Perintah baharu itu menyaksikan Najib menjalani hukuman tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman penjara berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).