Skip to main content

Malaysia

TH catat kerugian RM13 bilion daripada 14 pelaburan, tujuh rugi 100 peratus - Amir Hamzah

71765792584_TBAMIRHAMZAH.jpg
Amir Hamzah berkata, pelaburan TH dengan syarikat pemaju hartanah berpangkalan di Arab Saudi, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd (Al-Rawda) merekodkan kerugian terbesar dalam senarai pelaburan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat kerugian hampir RM13 bilion menerusi 14 pelaburan bermasalah dengan tujuh daripadanya merekodkan kerugian 100 peratus, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, pelaburan TH dengan syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd (Al-Rawda) merekodkan kerugian terbesar dalam senarai pelaburan berkenaan.

Katanya, kerugian hampir RM13 bilion itu merangkumi RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 serta rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH antara 2018 hingga 2025 bagi pelaburan yang masih diuruskan.

“Lebih parah, bagi tujuh daripada 14 pelaburan itu, rugi 100 peratus. Bukan sebahagian, tetapi rugi sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata pelaburan Al-Rawda membabitkan perjanjian pajakan bagi tempoh 2015 hingga 2017 apabila TH membayar 1.4 bilion riyal Saudi, bersamaan kira-kira RM1.5 bilion, kepada orang tengah untuk memajak empat hotel di Madinah dan Makkah bagi penempatan jemaah haji.

Beliau berkata pihak berkenaan sepatutnya mengendalikan keempat-empat hotel itu dan membayar sewa sebanyak 2.49 bilion riyal Saudi kepada TH, namun bayaran tersebut gagal dilunaskan, sedangkan jaminan bagi pelaburan bernilai besar itu hanya bersandarkan nota janji yang dijamin secara peribadi.

Katanya, Al-Rawda mula gagal membuat bayaran sejak suku pertama 2019 yang akhirnya menyebabkan TH terpaksa membuat rosot nilai sepenuhnya berjumlah RM1 bilion pada 2024.

Amir Hamzah berkata Jabatan Pengurusan Risiko TH sebelum itu telah meminta jaminan bank bagi pelaburan Al-Rawda, namun jaminan berkenaan gagal disediakan, manakala laporan usaha wajar juga tidak lengkap.

Bagaimanapun, katanya, kepimpinan TH ketika itu tetap meneruskan urus niaga berkenaan dengan hanya bersandarkan nota janji tersebut, sekali gus meletakkan lebih RM1.5 bilion dana pendeposit dalam pelaburan tanpa cagaran bernilai.

“Apa yang ada dalam tangan Tabung Haji hanyalah nota promissory (nota janji)… Ini urus niaga yang terang-terang cacat sejak awal, berat sebelah dan gagal melindungi kepentingan umat Islam Malaysia,” katanya.

Beliau menegaskan perkara berkenaan perlu disiasat segera oleh pihak berkuasa berkaitan pihak yang mendapat manfaat daripada urus niaga itu serta kepentingan yang dilindungi.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata pelaburan bermasalah lain melibatkan projek pembinaan tiga Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi TH Heavy Engineering Bhd (THHE), syarikat bersekutu TH yang turut disebut dalam RCI susulan rosot nilai yang tidak direkodkan.

Beliau berkata kerajaan pada 19 Jan, 2017, menganugerahkan kontrak bernilai RM738.9 juta kepada THHE Destini Sdn Bhd, usaha sama antara THHE Fabricators Sdn Bhd yang memegang 49 peratus kepentingan dan Destini Shipbuilding Engineering Sdn Bhd sebanyak 51 peratus.

Bagaimanapun, katanya, keseluruhan kerja pembinaan disubkontrakkan kepada anak syarikat Destini, manakala THHE hanya menerima surat lantikan khidmat nasihat, dengan kerja pembinaan sebenar dilaksanakan pihak Destini sejak awal.

Amir Hamzah berkata audit forensik terhadap projek itu mengenal pasti ketidakaturan dana RM48.1 juta serta potensi ketidakaturan lanjut RM195.4 juta yang masih disiasat, termasuk RM31.6 juta wang kontrak yang dialihkan kepada syarikat induk subkontraktor, bercanggah dengan aturan yang dipersetujui.

"Laporan forensik itu turut menyatakan seorang bekas pengarah Destini Bhd menerima RM1 juta melalui sebuah syarikat berkaitan.

"Hanya satu daripada tiga kapal berkenaan disiapkan, sedangkan ketiga-tiganya sepatutnya siap dalam tempoh 42 bulan atau sekitar pertengahan 2020, dengan kapal pertama hanya diserahkan pada 2 Jan 2024, kira-kira tiga setengah tahun lewat," katanya.

Beliau berkata kontrak bagi kapal kedua dan ketiga pula ditamatkan atas persetujuan bersama berkuat kuasa 31 Dis, 2024, manakala kos menyiapkan kapal-kapal itu dianggarkan memerlukan tambahan RM310 juta atau 40 peratus melebihi kos asal berdasarkan perbandingan sama bagi tiga kapal.

“Kelemahan tadbir urus pelaburan antara TH dan Destini bukan sahaja merugikan, malah kerajaan juga terpaksa menanggung kos tambahan untuk menyiapkan baki dua unit OPV tersebut,” katanya.

-- BERNAMA  

Must Watch Video

Advertisement