Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari (Alor Gajah) berkata, peluang kenaikan pangkat adalah terbuka kepada semua, tanpa mengira jantina, dengan syarat mereka mempunyai keupayaan yang diperlukan.
Beliau berkata, penglibatan wanita dalam ATM selama ini agak tinggi dalam beberapa bidang, antaranya pentadbiran dan perkhidmatan kesihatan.
“Kita tahu dari segi penjawatan memang ada ruang, kita lihat dalam konteks ATM ada beberapa aspek yang penglibatan wanita agak tinggi, contohnya dalam sudut pentadbiran, kedua kalau lihat kepada bahagian perkhidmatan kesihatan
“Peluang kenaikan pangkat kepada anggota wanita di ATM, adalah terbuka berdasarkan keupayaan mereka. Sebab itu kalau kita lihat tak ada diskriminasi, sama ada kepada wanita mahupun kepada lelaki, tapi paling penting kita beri ruang untuk mereka tingkatkan keupayaan, tingkatkan pengetahuan akan boleh beri jaminan kepada peningkatan dalam tugas dan juga pangkat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, yang ingin mengetahui jika golongan wanita dalam ATM mempunyai ruang yang sama seperti anggota lelaki tentang soal kenaikan pangkat.
Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, Adly berkata, sehingga 31 Disember 2024, seramai 222 anggota wanita ATM telah berkhidmat di luar negara.
Beliau berkata, mereka terlibat dalam misi kemanusiaan, misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), latihan bersama negara-negara rakan strategik, serta tugasan diplomatik ketenteraan.
Sehingga kini, tambahnya lagi, ATM telah melaksanakan 3 misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa dengan penglibatan 118 anggota wanita iaitu Op Starlight di Cox’s Bazar, Bangladesh dan di Turkiye; serta misi membawa pulang rakyat Palestin.
Selanjutnya, beliau berkata, seramai 85 anggota wanita turut dihantar bagi penugasan dalam Misi Pengaman PBB di Lubnan.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)