SANDAKAN: Jabatan Kimia telah mengesahkan bahawa tiada unsur asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir dalam semua sampel setiap perisa sandwic yang didapati menyalah guna logo halal.


Ringkasan AI
  • Jabatan Kimia mengesahkan tiada unsur DNA khinzir dalam semua sampel sandwic yang didapati menyalah guna logo halal.
  • Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan bahawa siasatan dan pendakwaan dilakukan dengan telus dan cepat, dengan tindakan diambil dalam tempoh singkat selepas isu tersebut viral.
  • Beliau mengingatkan bahawa penggunaan logo halal perlu diperakui oleh agensi berwajib seperti Jakim, dan tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang kesalahan.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu disahkan oleh Jabatan Kimia sebagai pihak yang berautoriti berkaitan isu berkenaan.

"Ada pihak yang bertanya tentang isu DNA Porcine dan sebagainya, laporan daripada Jabatan Kimia pihak yang berwibawa dan berautoriti.

"Saya ingin sahkan walaupun kita boleh tengok daripada pendakwaan tersebut tidak ada dakwaan dibuat kerana Jabatan Kimia telahpun mengesahkan bahawa tidak ada DNA Porcine babi dalam semua sampel, semua jenis perisa tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan di Bandar Ramai-Ramai, di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat memahami bahawa pendakwaan siasatan telah dilakukan dengan telus dan ia telah dirujuk kepada pihak yang berautoriti.

"Maka kita segerakan pendakwaan atas kesalahan pelanggaran kepada dua perundangan tersebut dan saya juga berharap bahawa semua pihak untuk mengambil tindakan yang serius.

"Maksudnya di sini perlu untuk memastikan penggunaan logo halal yang diperakui oleh agensi yang berwajib iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Ini bukan isu yang kita boleh ambil ringan dan kita selaku penguat kuasa, walaupun kita bukanlah pengeluar logo halal itu tetapi kita membantu akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kesalahan dan kita alu-alukan juga laporan serta aduan daripada semua pihak," katanya.

Beliau sebelum itu menolak dakwaan bahawa tindakan lambat diambil oleh pihak KPDN sebaliknya dalam tempoh singkat telah berjaya melakukan pendakwaan terhadap syarikat berkaitan.

"Sebenarnya tidak lambat, perkara tersebut viral pada 10 Januari, serta merta, bila sudah viral yang kita anggap aduan daripada awam pegawai penguat kuasa telah pun turun ke premis yang dimaksudkan.

"Pada 13 Januari kita telah kumpul bukti, sandwich pelbagai perisa itu kita telah hantar sampelnya kepada Jabatan Kimia dan 14 Januari kita telah merujuk kepada Jakim dari aspek logo halal.

"Pada 20 Januari kita dapat laporan oleh Jabatan Kimia dan kita serahkan kertas pendakwaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan 23 Januari kita telah pun mendapat izin dakwa dan 24 Januari pendakwaan telah pun dibuat.

"Jadi dalam tempoh yang singkat itu kita telah berjaya selesaikan siasatan hinggalah kepada pendakwaan dilakukan pada 24 Januari," katanya. -Sinar Harian