MALAYSIA
'Tiada jet peribadi, perjalanan guna wang sendiri' - Nurul Izzah jawab dakwaan tajaan mewah ke Tanah Suci

Nurul Izzah berkata perjalanan beliau dan suami, Yin Shao Loong ke tanah suci Mekah menggunakan wang simpanan sendiri. - Facebook Nurul Izzah Anwar
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar nafi kunjungan beliau dan suaminya Yin Shao Loong ke Tanah Suci Mekah menggunakan dana awam.
Dalam catatan di laman media sosialnya, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau banyak menerima mesej kononnya mereka berdua tinggal di hotel mewah, dan menggunakan jet peribadi, susulan penularan dua keping gambar di media sosial.
“Banyak hantaran dan mesej berkaitan fitnah telah dikirim kepada saya. Apabila ada sesuatu yang tidak benar tersebar begitu jauh dari hakikat sebenar, maka ia perlu diperbetulkan. Syukur Alhamdulillah, saya dan suami berpeluang menunaikan ibadah haji sebagai tetamu Allah SWT, melalui visa mujamalah.
“Urusan logistik, termasuk tempat tinggal dan pengangkutan, diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel. Menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri. Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah haji lain,” katanya lagi.Dalam catatannya, anak sulung kepada Perdana Menteri itu turut berkongsikan pengalaman menghadiri sesi ilmu bersama Sheikh Dr Omar Suleiman dan Dr Tahir Wyatt, dan juga Ustaz Dr Mohd Amirul Hassan Ahmaf Tajuddin.
Paling bermakna, tambahnya lagi, beliau dapat melaksanakan ibadah haji bersama suami, khususnya di Arafah, tempat di mana Allah SWT menurunkan ayat ke-3, Surah al-Maidah yang memberitahu bahawa Allah SWT telah menyempurnakan agama Islam.
“Dalam kita berbeza pandangan dan bertarung dalam medan politik di dunia, janganlah sehingga ibadah dijadikan sebagai bahan tohmahan dan fitnah.
“Biarlah kita saling mendoakan, semoga Allah SWT mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya – dalam keadaan yang dimudahkan, diterima amal, dan dijauhkan,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami