Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Tiada keterangan mencukupi dakwa Xavier, siasatan SPRM selesai

KUALA LUMPUR, 6 Feb -- Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar ketika sesi temu bual eksklusif bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di ibu kota hari ini. -- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
SPRM menegaskan bahawa setiap siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berdasarkan fakta serta keterangan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan berhubung kes melibatkan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang dibuka pada 2021 telah selesai.

SPRM menerusi kenyataan pada hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian dan siasatan menyeluruh terhadap maklumat serta keterangan yang diperoleh berhubung kes berkenaan.

Menurut suruhanjaya itu, sebanyak dua kertas siasatan dibuka pada 2021 di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, selepas penelitian terhadap fakta, dokumen dan keterangan berkaitan, Timbalan Pendakwa Raya pada 2024 memutuskan supaya kedua-dua kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Kemas Untuk Simpan (KUS).

SPRM berkata, keputusan itu dibuat kerana tiada keterangan mencukupi untuk mendakwa Xavier.

Dalam pada itu, SPRM menjelaskan tempoh sesuatu siasatan bergantung kepada tahap kompleksiti kes, termasuk keperluan mendapatkan, meneliti dan mengesahkan maklumat serta keterangan berkaitan.

Suruhanjaya itu turut menegaskan setiap siasatan dijalankan secara profesional, telus serta berdasarkan fakta dan keterangan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Sehubungan itu, SPRM meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung perkara berkenaan memandangkan siasatan telah selesai.

Xavier kembali sertai PKR

Perkembangan itu hadir ketika Xavier dilaporkan kembali menyertai PKR selepas lebih lima tahun meninggalkan parti berkenaan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh dilapor mengesahkan perkara itu pada Isnin, beberapa hari selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak bekas pemimpin dan anggota parti yang pernah berasa tersisih supaya kembali ke pangkuan parti.

Anwar membuat seruan itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR pada 15 Ogos lalu.

Xavier meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan meninggalkan parti pada Mac 2021 untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas dengan alasan kecewa terhadap beberapa perkembangan politik ketika itu.

Beliau kemudiannya menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Must Watch Video

Advertisement