Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ng Geok Choo, 63, anak perempuannya, Lee Chiw Yong, 30, dan cucu perempuan, Chen Si Jing, 11.
Seorang lagi mangsa iaitu cucu lelaki berusia 12 tahun selamat dan cedera di muka serta tangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Mohd Faiz Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran pada jam 2.46 pagi pada Jumaat.
Katanya, kebakaran melibatkan rumah berstruktur kekal bersaiz 24x30 kaki dengan memusnahkan 80 peratus.
"Setibanya Pasukan Keluar Operasi (PKO) di tempat kejadian, terdapat empat mangsa terperangkap dalam rumah.
"Tiga mangsa ditemui dalam keadaan melecur seluruh badan, masing-masing di bilik tidur hadapan dan seorang di bilik air.
"Mangsa yang terselamat dipercayai berada di ruang tamu ketika kejadian. Dan anggota bomba memecahkan grill pintu hadapan utama premis untuk memasuki premis,"katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas menerima rawatan awal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan kejadian tersebut.