SHAH ALAM: Tiga ladang ternakan babi di Selangor disita selepas disahkan dijangkiti penyakit African Swine Fever (ASF) atau demam babi Afrika.


Ringkasan AI
  • Tiga ladang ternakan babi di Selangor disita selepas dijangkiti penyakit African Swine Fever (ASF), melibatkan kira-kira 2,220 ternakan.
  • Sebanyak 920 ekor babi telah dilupuskan, dengan baki ternakan dalam proses pelupusan untuk mencegah penularan penyakit.
  • Penternak diingatkan untuk meningkatkan biosekuriti ladang dan orang awam digesa melaporkan sebarang kematian babi kepada pihak berkuasa veterinar.


Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata dua ladang tersebut yang terletak di Sepang yang disita pada 28 Jan dan 5 Feb, manakala sebuah ladang di Kuala Langat di kenakan tindakan sama pada 28 Jan, yang kesemuanya membabitkan kira-kira 2,220 ternakan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 920 ekor babi di sebuah ladang di Sepang telah dilupuskan pada 5 Feb, manakala bakinya dalam proses untuk tindakan yang sama.

"Kita percaya penyakit ASF ini antara puncanya berkemungkinan babi daripada luar Selangor dan telah dijangkiti, masuk ke negeri ini kerana kita (Selangor) dijangkiti selepas kes sama di Pulau Pinang, Perak dan Sarawak sebelum ini.

"Ini juga merupakan kes pertama di Selangor melibatkan babi yang hidup, kerana sebelum ini jangkitan daripada karkas haiwan itu yang datangnya dari luar negara," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu Izham berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor telah menerima aduan dan maklumat berlakunya jangkitan penyakit ASF ke atas sejumlah babi di beberapa buah ladang ternakan sekitar Sepang dan Kuala Langat pada 22 Jan.

"Bertindak atas maklumat tersebut, pada 24 hingga 25 Jan, DVS Selangor telah menjalankan pemeriksaan ke atas 29 buah ladang babi, melibatkan anggaran 25,000 babi di sekitar Sepang dan Kuala Langat bagi mengesahkan kejadian penyakit tersebut.

"Kesemua babi yang diperiksa diperintah untuk dikuarantin oleh penternak sehingga keputusan analisis sampel yang diambil diperoleh, selaras dengan peruntukkan di bawah Subseksyen 18 (2) Akta Binatang 1953 [Akta 647]," katanya.

Izham berkata penyakit ASF adalah penyakit bukan zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia dan hanya menyerang babi domestik serta babi liar dengan jangkitannya akan menyebabkan 100 peratus kematian dalam tempoh dua hingga 10 hari ke atas ternakan.

Beliau mengingatkan penternak agar terus berwaspada serta meningkatkan dan mengetatkan biosekuriti ladang masing-masing, bagi mengekang penularan penyakit ASF di Selangor.

Orang awam juga digesa melaporkan segera sebarang kematian babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah atau Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Selangor untuk tindakan selanjutnya.

"Selain itu, orang awam juga diingatkan untuk tidak memanipulasi dan menyebarkan sebarang berita yang tidak benar mengenai penyakit ASF hingga boleh menimbulkan perasaan cemas dalam kalangan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA