Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 9.55 malam itu, mangsa dikenali sebagai Zamri, 53, dan Aris, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Lim Yong Chia, 61, maut ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tangkak.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu Zamri dari Segamat menghala ke Kluang telah hilang kawalan lalu terlanggar tiang lampu yang berada di tengah pembahagi jalan, sebelum termasuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta Toyota Harrier yang dinaiki Lim.
"Akibat kemalangan tersebut, tiga lelaki maut sementara pemandu dan seorang lagi penumpang kereta Toyota Harrier serta dua penumpang kereta Proton Wira cedera dan masih dirawat di hospital sama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Roslan berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini agar menyalurkannya kepada pegawai penyiasat Inspektor Faszrulhaq Zulkapli di talian 012-2306943, katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II KUP Mohd Shahid Abd Razak dalam kenyataan berasingan berkata sebuah 'Fire Rescue Tender' (FRT) dan Toyota Hilux dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak telah digegaskan ke lokasi kejadian.
"Terdapat tujuh mangsa terlibat dan dua daripadanya maut di lokasi kejadian dan seorang lagi meninggal dunia di Hospital Tangkak, manakala kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital sama oleh pihak Kementerian Kesihatan," katanya.
-- BERNAMA