ALOR SETAR: Seorang daripada tiga mangsa insiden renjatan elektrik ketika menyertai perarakan keagamaan di Mergong, di sini, pada Selasa malam mengalami kecederaan melecur kira-kira 80 peratus pada badan dan masih tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata mangsa merupakan remaja lelaki berusia 16 tahun, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata dua lagi mangsa yang masing-masing berusia 17 tahun mengalami kecederaan melecur kira-kira 40 peratus dan 20 peratus, namun telah sedar dan masih menerima rawatan.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, polis menerima maklumat daripada pegawai penyelaras kawalan keselamatan perarakan sebelum mengarahkan anggota ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
"Ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan.
"Seorang mangsa mengalami kecederaan melecur kira-kira 80 peratus pada seluruh badan dan masih belum sedarkan diri, manakala dua lagi mangsa dilaporkan sedar tetapi masih dalam pemantauan pihak hospital," katanya pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan tiga peserta perarakan keagamaan cedera dalam insiden renjatan elektrik ketika menyertai perarakan di jalan utama di Mergong pada Selasa malam.
Syed Basri berkata, seorang daripada mangsa yang bekerja di sebuah premis perniagaan di Mergong mengalami kecederaan melecur kira-kira 40 peratus pada muka dan tangan.
Seorang lagi mangsa yang merupakan pelajar sekolah mengalami kecederaan melecur kira-kira 20 peratus pada tangan.
Beliau berkata, hasil temu bual awal dengan pegawai penyelaras keselamatan perarakan mendapati tiang bendera yang dibawa peserta dipercayai tersentuh talian utama bekalan elektrik ketika perarakan berlangsung.
"Seorang mangsa yang ditemu bual polis turut memaklumkan bahawa tiang bendera berkenaan tersentuh talian elektrik pada ketinggian dianggarkan 10 meter, menyebabkan dia bersama dua peserta lain terkena renjatan elektrik," katanya.
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila tiang bendera yang dibawa peserta menghampiri talian penghantaran elektrik voltan tinggi sehingga menyebabkan percikan arka elektrik.
TNB turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan lanjut berhubung insiden tersebut.